OLEH YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB
KUALA SELANGOR, 8 OGOS: Calon Barisan Nasional kerusi Jeram berhasrat membina pusat sehenti bagi memudahkan anak muda khususnya di sekitar Puncak Alam memperoleh capaian internet percuma.
Datuk Jahaya Ibrahim juga mahu menganjurkan lebih banyak program e-sukan pada masa depan seterusnya mencungkil bakat baharu dari kawasan Dewan Undangan Negeri berkenaan.
Beliau juga menegaskan kepentingan untuk memastikan anak muda menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seiring perkembangan pendigitalan pada masa ini.
“e-Sukan adalah industri yang meningkat naik secara mendadak dan kini berkembang ke peringkat Sukan Malaysia (Sukma) dan antarabangsa,” katanya semalam.
Beliau ditemui ketika mengunjungi peserta e-sukan Mobile Legends di Puncak Alam 3 di sini. Pertandingan itu menawarkan hadiah RM1,500 bagi tempat pertama hingga keempat selain sagu hati.
Beliau berdepan Harrison Hassan daripada Perikatan Nasional dalam saingan satu lawan satu dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.