Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Manifesto PN ‘salin dan tampal’, tidak wajar bawa tema Selangor Baharu

SHAH ALAM, 8 OGOS: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan manifesto Perikatan Nasional (PN) Selangor sekadar propaganda dan tiada idea kandungan baharu.

Beliau menegaskan tema ‘Selangor Baharu’ juga tidak wajar digunakan pihak lawan jika sekadar ‘salin dan tampal’ daripada tawaran Pakatan Harapan (HARAPAN)-Barisan Nasional negeri.

“Mana ada benda baharu (manifesto PN), kalau ada pun cuma satu, dua. Kalau hendak kata Invest Selangor bawa pelaburan berteknologi tinggi, itu sejak dahulu lagi.

“Mereka (PN) propagandakan Selangor Baharu kalau mahu sambung sahaja (program sedia ada). Ini propaganda kosong atau salah tema,” katanya dalam program Podcast Keluar Sekejap petang semalam.

Beliau berkata tawaran negeri dicetuskan secara berpasukan berpandu pengalaman kedua-dua gabungan mentadbir dengan meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.

Pengumuman manifesto PN Selangor dibuat pada 4 Ogos, kurang seminggu daripada pembentangan
Tawaran Kita Selangor Lima Tekad Untuk Lima Tahun Kegemilangan Selangor pada 31 Julai.

Mengulas corak pentadbiran Azmin dalam pentadbiran negeri sebelum ini, Amirudin tidak menafikan mantan Dato’ Menteri Besar itu seorang yang sangat berhati-hati dalam membuat keputusan.

“Kaedah beliau mentadbir agak mikrourus, adakala keputusan sangat lambat dan berhati-hati. Untuk tadbir negeri yang sangat besar atau mahu jadi perdana menteri, kita perlu percaya orang bawahan.

“Kepercayaan ini boleh bawa kita ke depan. Jika (Azmin) masih kekal kaedah sama, mungkin ia akan menghalang cita-cita beliau,” katanya.

 

 


Pengarang :