Calon Meru Mariam Abdul Rashid berucap dalam Ceramah Perpaduan Arus Merah Kuning di Bilik Gerakan BN Jalan Paip, Klang pada 7 Ogos 2023. Foto ABDUL RAHIM SABRI/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Calon Meru lancar manifesto majukan kawasan, tumpu kebajikan B40

OLEH ABDUL RAHIM SABRI

SHAH ALAM, 8 OGOS: Calon Meru Mariam Abdul Rashid melancarkan manifesto ’10 Tekad Meru’ untuk memajukan kawasan itu dalam tempoh lima tahun jika diberi peluang menjadi wakil rakyat.

Menerusi Facebook, beliau memaklumkan tawaran itu meliputi pembangunan infrastruktur, kebajikan dan ekonomi kumpulan berpendapatan rendah (B40), anak muda, wanita serta usahawan.

Berikut perkara yang digariskan:

  • Memastikan projek tebatan banjir dilaksana segera dan penyelenggaraan saliran kerap dibuat
  • Menangani lambakan warga asing dengan tegas melalui kerjasama agensi penguatkuasaan
  • Menyusun gerai-gerai dengan teratur dan sistematik
  • Menaik taraf kemudahan awam seperti taman rekreasi, fasiliti sukan dan padang
  • Memperkasa usahawan tempatan dengan insentif dan kemahiran
  • Meningkatkan peluang pekerjaan belia melalui Jom Kerja dan pemerkasaan pekerja ekonomi sampingan
  • Membangun potensi wanita yang menghasilkan produk dari rumah
  • Memastikan golongan B40 dan rakyat termiskin dibantu dan menerima manfaat inisiatif kerajaan
  • Menjadikan Meru sebagai hab ilmu dengan memperbanyak majlis ilmu, ceramah agama, sambutan hari kebesaran umat Islam dan program rohani bagi semua lapisan masyarakat
  • Menjamin kebersihan kawasan dengan memantau kutipan sampah dan aktiviti kitar semula

Sementara itu, berucap dalam ceramah malam tadi, Mariam mahu warga Meru menyumbang kemenangan buat Pakatan Harapan bagi membentuk kerajaan perpaduan di Selangor selaras peringkat persekutuan.

Beliau menjelaskan ia bagi memudahkan lagi urusan penyaluran dana untuk menangani masalah rakyat khususnya banjir kilat, yang juga agenda utamanya jika dipilih sebagai wakil rakyat.

“Perlu ada penyelarasan antara kerajaan persekutuan dan negeri. Kalau berbeza, peruntukan itu mungkin lambat turun,” katanya yang bersaing tiga penjuru dalam pilihan raya negeri pada 12 Ogos.

 


Pengarang :