Dato’Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentang Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad Untuk Lima Tahun Untuk Rakyat Selangor di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai 2023. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

BN asas bangunkan negeri, HARAPAN lonjak kemajuan

SHAH ALAM, 9 OGOS: Semenjak pada 2008, Selangor telah memulakan langkah reformasi atau islah yang konsisten demi memastikan dasar institusi dan pentadbiran ini melaksanakan agenda perubahan.

Bermula dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor, sekarang dikenali Iltizam Selangor Penyayang, dalam lima tahun sahaja kita sudah membelanjakan RM2.3 bilion.

Jumlah besar ini tidak mampu disaingi mana-mana negeri atau permuafakatan politik. Sebab itu, saya yakin dengan tekad dan hala tuju ini. Memang kita diuji tetapi kita buktikan mampu membawa kemakmuran dan kestabilan kepada rakyat di negeri ini.

Malahan kita juga turut buktikan dengan melakukan reformasi institusi dalam penggal pertama lagi terhadap Dewan Negeri Selangor melalui kelahiran beberapa jawatankuasa khas, antaranya Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

Kita juga tubuhkan Jawatankuasa Pilihan Agensi, Badan Berkanun dan Anak Syarikat (JP-ABAS), Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) dan pelbagai lagi jawatankuasa yang meneliti bagaimana pemisahan kuasa di antara badan penggubal perundangan dan eksekutif.

Ahli jawatankuasa Selcat mendengar penerangan daripada agensi berkaitan berhubung penilaian prestasi ahli majlis dan PBT di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 20 Februari 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Tujuannya, supaya kerajaan kita berada pada landasan yang betul, dapat menjamin ketelusan.

Selangor menjadi negeri pertama di Malaysia yang melahirkan Enakmen Kebebasan Maklumat, (ilham) Freedom of Information Act, pada penggal pertama.

Dan kita teruskan lagi dengan agenda ekonomi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) sebagai bukti bagaimana kesungguhan dan tumpuan kita. Bermula dengan penjajaran, kita tetapkan rancangan lima tahun untuk rakyat Selangor.

KDNK 25.5 peratus

Pada tahun pembentangan itu, RS-1 dibentang pada 2022, ekonomi Selangor menyumbang 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar. Lonjakan ini paling tinggi dalam sejarah 15 tahun pentadbiran Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan (HARAPAN) di Selangor.

Ingin saya jelaskan bahawa tekad dalam pembentangan ini, Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun, berdasarkan hasrat menyambung kejayaan, kecemerlangan dan kemakmuran negeri yang telah kita kecapi.

Lebih-lebih lagi sekarang kita ada agenda perpaduan, HARAPAN dan Barisan Nasional (BN) yang mempunyai tradisi dan sejarah membangunkan Selangor.

Sejarah tidak pernah menipu. Selama berpuluh-puluh tahun Selangor, yang pada mulanya dikenali sebagai bandar kecil, membangun dan dimajukan oleh pemimpin-pemimpin terdahulu yang rata-ratanya daripada BN membawa kemakmuran ekonomi kepada rakyat.

Apabila berlaku peralihan politik pada 2008, kumpulan-kumpulan induk dalam HARAPAN telah memuncakkan pembangunan ini dengan rencana, agenda baharu, membangunkan industri aeroangkasa, rel atau sains hayat, sebagai contoh.

Program ini semua berjaya menyambung kemajuan negeri. Kita (HARAPAN) menyambung kerja baik yang ditinggalkan oleh BN puluhan tahun yang lepas. Dan kali ini, dua gabungan ini bercantum menjadi satu gabungan yang ampuh, kukuh dan kuat di peringkat persekutuan.

Saya percaya kita boleh gabungkan antara pengalaman silam, dicampur dengan idea, garapan dan anjakan baru yang telah kita laksanakan sehingga mengekalkan Selangor sebagai negeri perpaduan.

Negeri yang mengekalkan kestabilan, yang menjaga keharmonian, yang kekal makmur membangun maju dan moden serta tidak ketinggalan menjaga rakyatnya dengan baik, semuanya mendapat nikmat dan perlu dibantu atau membantu kepada mereka yang kita sangat perlukan.

Ucapan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika melancarkan manifesto Tawaran Kita Selangor: Lima Tekad untuk Lima Tahun di Seksyen 7, Shah Alam pada 31 Julai.


Pengarang :