Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri ceramah Grand Finale Kuala Selangor di Ijok pada 10 Ogos 2023. Foto AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri
AGENDANASIONAL

PM seru pengundi tunai tanggungjawab esok, pilih kerajaan stabil (VIDEO)

SHAH ALAM, 11 OGOS: Perdana menteri menyeru pengundi di enam negeri untuk menunaikan tanggungjawab memilih calon di kawasan masing-masing dalam pilihan raya negeri (PRN) esok.

Menerusi video di media sosial, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut berharap pengundi terutama anak muda memilih parti dan kerajaan yang stabil bagi memulihkan semula ekonomi negara.

“Pastikan memilih calon yang didukung untuk menerajui kerajaan negeri dan parlimen Kuala Terengganu. Mudah-mudahan ia berjalan lancar dan baik serta tenang menyempurnakan tanggungjawab.

“Kepada pengundi termasuk anak muda yang baharu mendapat peluang, saya percaya mereka akan memilih dengan bijak bagi keamanan negara, kestabilan dan parti yang boleh memulihkan ekonomi, memberi jaminan pekerjaan serta keselesaan hidup kepada diri, keluarga dan negara tercinta,” katanya.

Selain Selangor, PRN turut berlangsung serentak di lima negeri iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu juga diadakan esok berikutan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan calon Pas Datuk Ahmad Amzad Hashim pada 27 Jun.

Pada 8 Ogos, seramai 97,388 anggota tentera dan polis bersama pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mereka dalam PRN di enam negeri berkenaan.


Pengarang :