Suasana kempen pilihan raya Dewan Undangan Negeri Selangor yang dipenuhi bendera parti di Jalan Sungai Pusu Gombak pada 29 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Tinjauan: Selangor kekal di tangan HARAPAN-BN

SHAH ALAM, 11 OGOS: Selangor dijangka kekal di tangan gabungan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos, kata firma tinjauan pendapat Ilham Centre.

Menurut tinjauan antara 29 Julai hingga 8 Ogos lalu, prestasi cemerlang pentadbiran negeri memberi keyakinan kepada pengundi untuk menyokong gabungan tersebut.

Dapatan mendapati kempen agresif Perikatan Nasional (PN) menakutkan pengundi bukan Melayu yang kekal memilih HARAPAN, malah data menunjukkan peratusan keluar mengundi mereka tinggi.

“PN kelihatan tepu mencari strategi bagaimana ingin menarik sokongan pengundi bukan Melayu. Sekiranya keadaan ini kekal, PN terpaksa melupakan undi Cina, India sebaliknya terpaksa menumpukan kebergantungan kepada undi Melayu.

“Ini menyempitkan ruang PN menawan negeri ini. Mereka perlu memperolehi 70 peratus dan ke atas sokongan Melayu untuk melepasi jumlah undi untuk menang,” kata kenyataan hari ini.

Calon Permatang Pakya berkonvoi menaiki trem celurut bersama anggota jentera pilih raya mengelilingi Kampung Sawah Sempadan dalam program Konvoi Perpaduan Permatang pada 10 ogos 2023. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

Gabungan pembangkang itu juga tidak berupaya untuk mengambil alih pemerintahan negeri sekalipun mereka berpeluang menambah kerusi bermajoriti Melayu, khususnya di utara Selangor.

Kerusi Hulu Kelang sengit dan bacaan sukar dibuat manakala beberapa kerusi HARAPAN-BN seperti Sungai Ramal, Morib, Hulu Bernam, Sementa dan Sungai Kandis terdedah kepada penguasaan PN.

Selain Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijangka kekal di tangan HARAPAN-BN.

Seramai 2,304 responden dari enam negeri yang terlibat dalam PRN terlibat dalam tinjauan tersebut. Ralat kesilapan ialah dua peratus manakala tahap keyakinan 95 peratus.


Pengarang :