KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Barisan Nasional (BN) menjamin kestabilan dan melonjak kemajuan ekonomi negara.
Pengerusi HARAPAN negeri berkata perkara itu dibuktikan menerusi beberapa manifesto ditawar Kerajaan Perpaduan yang mementingkan kebajikan setiap golongan.
“Rancangan (manifesto) kita bukan hanya bagi RM500, RM100 (duit), sepanjang lima tahun sejak 2018 hingga 2023 Selangor berjaya mencipta 89,000 peluang pekerjaan baharu.
“Sebab itu dengan tradisi yang ada dalam sejarah pembangunan dan pengurusan negara kini, kita yakin untuk tempoh lima tahun lagi kita boleh cipta 100,000 peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk rakyat negeri ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.
Beliau berkata demikian pada Festival Grand Finale Kita Selangor #ArusMerahKuning di padang AU2 Keramat, malam tadi yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/08/SK1008MA_06-500x333.jpg.webp)
Amirudin yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berharap rakyat memberi peluang kepada HARAPAN membentuk Kerajaan Perpaduan di negeri itu untuk tempoh lima tahun.
Jelasnya, kemenangan HARAPAN dan BN di Selangor juga tidak sekadar membolehkan pembangunan diteruskan tetapi mahu menjaga keamanan, kestabilan negara yang haru biru disebabkan oleh pengkhianat gila kuasa.
“Justeru, 12 Ogos semua orang Melayu, orang Cina, orang India di Selangor kena turun beramai-ramai pastikan untuk undi HARAPAN atau BN. Rakyat perlukan perpaduan, kestabilan dan kehidupan yang mampan bukannya kehuru-haraan dan ketidakstabilan.
“Bermula dengan pengundi kali pertama sehingga pengundi hampir enam tujuh kali, ini tanah kita ini tugas kita untuk pertahankan Selangor daripada jadi tempat pengkhianat yang mahu merosakkan kehidupan rakyat, politik dan negara kita.
“Jadi, lima tahun lagi kita perlukan untuk sambung tugas kita, kita perlukan lima tahun lagi, kekal lima tahun. Kita selangor,” laungnya.