Wakil rakyat Dusun Tua Datuk Johan Abdul Aziz akan menyelesaikan isu pembuangan sampah secara haram termasuk di kawasan Batu 18 selepas pilihan raya negeri 12 Ogos 2023. Foto Facebook Datuk Wira Haji Johan Abd Aziz
ADNSELANGOR

ADN Dusun Tua mula tugas tumpu isu sampah haram

SHAH ALAM, 16 OGOS: Selepas dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, wakil rakyatnya Datuk Johan Abdul Aziz terus berkhidmat dengan menumpukan penyelesaian longgokan sampah di tepi jalan.

Beliau berkata longgokan sampah di tempat pembuangan khususnya di Batu 18 dilakukan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya telah berbincang dengan Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan dan akan memanggil pengusaha restoran, resort dan chalet dalam satu mesyuarat khas bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi mencari jalan penyelesaian isu sampah ini.

“Saya telah hubungi Yang Dipertua MPKj, mesyuarat akan diadakan segera. Perlu diselesaikan kerana ia melibatkan kesejahteraan penduduk,” katanya.

Johan memaklumkan penambahbaikan sistem pengurusan sampah merupakan salah satu manifesto beliau dalam kempen pilihan raya negeri lalu.

“Insya-Allah saya akan gunakan pengalaman sebagai ahli majlis, bila ada isu tempatan seperti ini melibatkan penduduk, saya tahu macam mana nak uruskan, ke mana nak bawa ke agensi berkaitan.

“Perkara ini juga akan menjadi mudah apabila Kerajaan Negeri selaras dengan Kerajaan Persekutuan yang diterajui gabungan perpaduan,” katanya.

Dalam PRN Sabtu lalu Johan memperolehi majoriti 3,014 undi selepas menewaskan dua pencabarnya Azhar Hambali (Perikatan Nasional) dan calon MUDA, Al Hafiz Ikhwan.


Pengarang :