Yew Jia Haur (dua dari kanan) berbincang dengan penduduk di Jalan Bunga Kemboja, Taman Muda, Ampang mengenai isu banjir pada Julai, 2023. Foto ihsan Yew Jia Haur
ADNSELANGOR

ADN Teratai, Taman Templer tekad balas kepercayaan pengundi

Oleh AZIAN AZIZ dan DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 15 OGOS: Dua muka baharu iaitu ahli dewan undangan negeri (ADN) Teratai dan Taman Templer berazam mengotakan janji dalam kempen pilihan raya negri (PRN)

ADN Teratai Yew Jia Haur berkata pihaknya akan menyelesaikan segera masalah banjir kilat di Taman Putra dan Taman Muda, Ampang yang berpunca longkang tersumbat.

“Permohonan kepada pihak berkaitan akan segera dibuat. Longkang lama diganti longkang baharu bagi memastikan aliran air tidak tersumbat ketika hujan lebat.

“Kita dapati longkang sempit, mendap serta lama hingga menyebabkan aliran air tidak lancar dan berlaku banjir terutama ketika hujan lebat,” katanya yang berterima kasih atas kepercayaan penduduk dan berjanji memberikan khidmat yang terbaik termasuk menunaikan manifesto.

Anfaal Saari ketika menghadiri program saringan dan tips kesihatan di Taman Selayang Mutiara ,Jalan Mutiara 3/4, Batu Caves pada 3 Ogos 2023. Foto MOHD YUSNI ARIFFIN/SELANGORKINI

Bagi wakil rakyat Taman Templer Anfaal Saari, usahanya kini untuk memperkasa pendidikan kanak-kanak dan ekonomi golongan wanita, pekerja gig, peniaga serta penjaja dalam tempoh 100 hari.

“Usaha perkasakan ekonomi khususnya golongan wanita ini untuk pastikan mereka terbabit dalam bidang keusahawanan sama ada wanita yang bekerjaya mahupun suri rumah.

“Saya tak bercadang buat perkara baharu sebaliknya tumpu untuk fokus kepada isu yang telah dijanjikan dalam tempoh 100 hari sekiranya terpilih mewakili penduduk untuk bawa suara mereka sidang DUN,” katanya.

Beliau berkata usaha menambah baik prasarana juga akan dilaksanakan seperti dewan serba guna dan pasar bagi meninglatkan keselesaan penduduk.


Pengarang :