Tukang jahit Kamaruddin Samudin, 52, atau Tailor Deen dan rakannya, Syahmi Ismail (kiri) giat menyiapkan Jalur Gemilang gergasi berukuran kira-kira 12 meter panjang dan enam meter lebar untuk kegunaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 17RK1 sempena sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya pada 15 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Jalur Gemilang gergasi semarakkan hari kemerdekaan ke-66

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 15 OGOS: Diamanahkan untuk menjahit Jalur Gemilang gergasi bukan sahaja mencetuskan perasaan bangga malah menyemarakkan lagi semangat patriotisme dalam jiwa Kamaruddin Samudin, 52, atau ‘Tailor Deen’, terutama menjelang ulang tahun kemerdekaan negara ke-66.

Kamaruddin yang berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang jahitan berkata bendera gergasi berukuran kira-kira 12 meter panjang dan enam meter lebar itu dihasilkan untuk kegunaan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Presint 17RK1 di sini.

Berkongsi pengalaman, beliau mengakui tugas menghasilkan bendera gergasi itu rumit kerana perlu dilakukan secara teliti terutama pada bahagian anak bulan yang melambangkan Islam sebagai agama rasmi negara dan bintang pecah 14.

“Saya ada teknik dan ukuran tertentu untuk pastikan kedudukan anak bulan dan bintang adalah sama. Rujukan dan ukuran saya dapatkan daripada bendera kecil…ini yang rumit dan perlu cermat.

“Setiap jarak antara jalur juga perlu sekata dan sama kerana saya tidak mahu orang lihat ada tidak kena dengan bendera gergasi yang dihasilkan. Ini bendera Malaysia dan saya jahit dengan sepenuh hati agar dapat bangkitkan semangat patriotisme kepada semua,” katanya.

Kamaruddin berkata beliau dibantu rakannya Syahmi Ismail, 45, mengambil masa lebih dua hari untuk menyiapkan bendera gergasi itu, yang bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Perumahan Penjawat Awam 17RK1.

Katanya kain yang digunakan untuk menghasilkan Jalur Gemilang gergasi itu juga berkualiti tinggi bagi memastikan ia tahan lama dan tidak cepat koyak kerana bendera itu terus digunakan tahun depan.

“Jika dibeli atau dihasilkan oleh tukang jahit lain harga bendera gergasi ini mungkin lebih RM500, tetapi saya tidak ambil upah apa-apa dan kos kain pula ditanggung sepenuhnya KRT 17RK1,” katanya yang mengambil upah menjahit di rumahnya di Presint 17 di sini.

Menurutnya bagi memastikan bendera gergasi itu dapat disiapkan dengan baik dan sempurna, beliau sanggup menolak beberapa tempahan untuk menjahit pakaian serta tanjak merdeka daripada pelanggan.

“Banyak permintaan tetapi saya mahu fokus untuk hasilkan bendera gergasi. Ini kali kedua saya hasilkan bendera seumpama ini kerana pada 2020 saya ada buat tetapi ia sedikit kecil berbanding yang dihasilkan tahun ini,” katanya yang belajar menjahit daripada ibu bapanya.

Sementara itu, Syahmi berkata beliau bersemangat membantu Kamaruddin menghasilkan Jalur Gemilang gergasi kerana mahu turut membuktikan perasaan cintanya kepada negara.

“Saya bantu pegang dan gerakkan kain bendera untuk dijahit kerana ia berat. Memang sukar kalau jahit seorang diri dan hasil kerja keras itu, kami dapat siapkan bendera gergasi untuk KRT 17RK1,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung di Putrajaya pada 31 Ogos ini dengan tema “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”.

Tema itu selari dengan tekad dan komitmen kerajaan membangunkan sebuah negara yang rakyatnya bersatu padu, memiliki semangat perpaduan tinggi serta hidup dalam aman serta sejahtera.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil sebelum ini berkata acara sambutan Hari Kebangsaan 2023 akan berlangsung gah seperti tahun sebelumnya.

– BERNAMA


Pengarang :