BUDAYARENCANA

Pada suatu pagi yang malas

Oleh Adam Taufiq Suharto

Aku tersedar dari mimpi ngeri. Aku tarik nafas panjang. Aku lihat telefon. Jam baru 7.30 pagi. Badan aku secara automatik akan terjaga pada jam 7.30 pagi walaupun di hari cuti. Bukankah itu satu sumpahan? Dari balik tingkap, hujan sedang merenyai, suhu menyejuk. Aku fikir, ini waktu yang paling ideal untuk terus tidur, bermalas-malas sepanjang hari. Ini hari Sabtu. Ah, ternyata apa yang dikatakan Oscar Wilde itu benar! ‘Tak buat apa-apa adalah sesuatu yang sukar’. Aku ingat aku terbaca di Facebook dua minggu lepas. Kawan kongsi, aku tak pernah baca Oscar Wilde.

Aku menungkan bilik sunyi nan malap itu. Sawang di bucu-bucu dinding bergumpalan. Ada longgokan baju kotor di lantai. Patutkah aku mengemas bilik dan basuh baju di hari minggu yang malas ini? Tidak, aku mahu tidur, baring dan bermalas-malasan. Sudah beberapa minggu aku tidak menikmati ini.

Ada notifikasi masuk di telefon aku tapi ia cuma salah seorang ‘crush’ yang memuatnaik ‘story’ di Instagram. Dia sedang mendaki dan berkhemah bersama teman lelakinya di gunung mana entah. Rajin dia mendaki di pagi hari. Aku tak kuasa. Aku hanya ingin baring dan bermalas-malas di katil kerana hari ini adalah hari minggu. Hujan terus merenyai dan suhu terus menyejuk. Masa yang ideal untuk memenuhi nawaitu aku. Bermalas-malasan.

Aku tarik selimut tapi tak semena-mena, ada bunyi burung mengicau di luar tingkap. Dua ekor. Aku syak seekor adalah betina dan seekor lagi jantan. Kedua-duanya tiba-tiba mengetuk-ngetuk paruh mereka di tingkap. Membingit. Apa masalah binatang ni? Kedua-dua ekor burung itu menyukarkan aku untuk tidur. Aku patut bangun dan halau kedua-dua ekor. Namun, aku harus ingat nawaitu aku. Aku hanya hendak baring dan bermalas-malasan. Aku tutup telinga dengan bantal.

Perlahan-lahan, burung-burung itu pergi. Di luar masih renyai dan suhu masih menyejuk. Aku ubah posisi baring kepada meniarap dan perlahan-lahan memejamkan mata. Aku ingin tidur sepanjang hari. Aku tak mahu bangun dari katil. Setiap hari kerja, aku selalu perlu bangun dari katil sepagi ini. Dua tiga hujung minggu yang lepas, aku terpaksa menghabiskan hujung minggu dengan hal-hal di tempat kerja dan famili.

Hari ini aku mahu bayar semula semua itu. Hari untuk aku bermalas-malasan. Aku hendak baring dan tidur…
Tiba-tiba saja, ada siren ambulans mencemar bunyi. Aku buka mata luas-luas. Bunyi ambulans itu mendekat dan tiba-tiba bunyi itu bertahan lama di hadapan rumah aku. Aku masih tak mahu bangun. Ini hari untuk bermalas-malas. Di Whatsapp group taman perumahan aku, ada berita tentang ibu jiran di hadapan rumah aku dalam keadaan kecemasan. Serangan jantung. Aku dapat lihat gambar dan video yang dirakam oleh jiran itu; ibunya sedang dibawa masuk ke dalam van ambulans. Aku bangun akhirnya. Tapi tidak dari katil.

Aku duduk di katil. Mengintai ambulans di bawah dari tingkap bilik aku, di tingkat atas. Selepas mengucapkan, ‘semoga semuanya dipermudahkan, In Shaa Allah’ di Whatsapp group dan ambulans sederap melaju pergi, aku baring kembali.

Kejadian itu membuat aku jadi sukar untuk tidur, tapi hanya seketika. Mungkin ia mengingatkan aku kepada kematian. Ah! Kejadian itu tak seharusnya merosakkan rancangan aku untuk terus bermalas-malasan.

Sudah dua tiga minggu aku tidak mengecap nikmat ini. Baring dan tidur sepanjang hari. Hujan di luar semakin reda. Dan aku melihat cahaya matahari perlahan-lahan menjajah bilik aku. Dari tingkap, cahaya itu menjalar di lantai dan naik ke katil. Aku patut tutup langsir, tapi aku tak mahu bangun dari katil. Ia akan merosakkan perasaan untuk bermalas-malasan dan tidur sepanjang hari. Aku tarik selimut dan tutup seluruh tubuh. Kini semuanya gelap. Aku pasti akan terlena dan tidur dengan tenang. Kini semuanya gelap. Aku pasti, aku sudah terlena.

Suasana gelap. Aku pasti tak bermimpi apa-apa. Aku pasti akan mendapat tidur yang lena. Aku pasti dapat menikmati hujung minggu se-hujung-minggunya. Namun dalam gelap itu, tiba-tiba sayup-sayup masuk suara berjemaah sedang membaca surah Yaasin. Sekejap, ini aneh. Ini tidak seperti mimpi. Mengapa mereka membaca Surah Yaassiin dan membacanya seolah-olah di sekeliling aku? Tidak. Sekejap. Adakah aku sudah di ambang kematian? Tidak! Nanti dulu! Nanti dulu!

Aku tersedar dari mimpi ngeri. Aku tarik nafas panjang. Aku lihat telefon aku. Jam baru 7.30 pagi. Badan aku secara automatik akan terjaga pada jam 7.30 pagi walaupun di hari cuti. Bukankah itu satu sumpahan?

 

 


Pengarang :