Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Ramah Mesra Perpaduan Semenyih #KitaSelangor di Dewan Semarak Kasih Dataran Dato’ Mohd Said Semenyih, Kajang pada 9 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Istana akan maklum pelantikan menteri besar, kata Amirudin

SHAH ALAM, 17 OGOS: Pengumuman mengenai pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu akan dibuat oleh pihak istana, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata sesi menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang berlangsung petang tadi adalah bagi memaklumkan perkembangan semasa negeri itu.

“Saya menghadap Tuanku seperti biasa, tanya khabar dan merancang beberapa perkara… Hal biasa mengenai perkembangan negeri, pencapaian ekonomi dan kesihatan Tuanku,” katanya kepada pemberita di hadapan Istana Bukit Kayangan di sini hari ini.

Ditanya sama ada sesi yang berlangsung selama sejam itu turut membincangkan isu pelantikan Menteri Besar baharu, Amirudin berkata tidak semua perkara boleh didedahkan.

Mengulas senarai nama calon Menteri Besar Selangor pula, beliau berkata perkara tersebut boleh ditanya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia dihantar oleh pemimpin itu.

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di Selangor pada Sabtu lalu menyaksikan gabungan PH dan Barisan Nasional (BN) menguasai 34 kerusi manakala Perikatan Nasional mendapat 22 kerusi.

Sebelum ini, Anwar menamakan Amirudin sebagai calon Menteri Besar Selangor sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN itu.

– BERNAMA


Pengarang :