Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain (tengah) meninjau lokasi kejadian nahas pesawat terhempas di Bandar Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Nahas pesawat: Hanya satu mayat ditemukan dalam keadaan sempurna

SHAH ALAM, 18 OGOS: Hanya satu daripada 10 mayat mangsa nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, di sini, semalam, ditemukan dalam keadaan sempurna, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Beliau berkata dalam kejadian petang itu di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, di sini, kesemua mangsa terdiri daripada dua kru pesawat, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta.

Katanya, mayat sempurna itu ditemukan iaitu penunggang motosikal dan identiti mangsa dikenal pasti sementara menunggu proses pengesahan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) oleh ahli keluarga.

“Identiti pemandu kereta belum dikenal pasti, sama ada ia merupakan pemandu Grab dan membawa penumpang ataupun tidak,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian, malam tadi.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun adalah antara nama yang tersenarai dalam manifest penumpang pesawat tersebut pada jam kira-kira 2.50 petang tadi.

Turut tersenarai adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; dan Idris Abdol Talib.

Bagaimanapun, Loke berkata identiti dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam insiden itu akan disahkan melalui siasatan polis.

– BERNAMA


Pengarang :