Keadaan motorsikal yang turut terbakar di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Polis selesai ambil DNA 10 waris mangsa pesawat terhempas

KLANG, 18 OGOS: Waris semua mangsa telah selesai memberikan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mereka bagi tujuan mengenal pasti 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Cha Hoong Fong berkata waris yang terakhir tiba dari Sungai Petani, Kedah pada kira-kira 5 pagi tadi.

“Kesemua waris telah diambil sampel DNA mereka bagi mengenal pasti mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat semalam,” katanya kepada Bernama hari ini.

Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan 10 lelaki maut dalam kejadian itu.

Antara nama yang terdapat dalam senarai penumpang ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang Datuk Seri Johari Harun.

Lapan daripada yang maut terdiri daripada enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika ditemui pemberita di lokasi nahas memaklumkan beberapa saksi telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan nahas pesawat itu.

Beliau berkata saksi melibatkan penduduk sekitar perumahan Elmina dan orang awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain yang turut berada di lokasi sama pula menasihati orang awam untuk tidak menyebarkan rakaman nahas pesawat tersebut bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa terlibat.

– BERNAMA


Pengarang :