AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Nahas pesawat: MB ucap takziah, rakam penghargaan buat petugas

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dato’ Menteri Besar merakam ucapan takziah kepada waris nahas pesawat ringan di Elmina Central Park Seksyen U16 Shah Alam.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut mendoakan roh mangsa dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

“Di hari Jumaat yang mulia ini marilah bersama-sama kita membaca surah Yassin dan bacaan al-Fatihah buat semua mangsa yang terkorban dalam tragedi nahas pesawat ringan semalam.

“Kita doakan agar ahli keluarga mangsa terlibat diberi kekuatan dan kesabaran menghadapi ujian ini,” katanya di Facebook hari ini.

Pihak berkuasa menjalankan siasatan di lokasi pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama

Amirudin turut merakam penghargaan kepada petugas perubatan, keselamatan dan media yang bertugas mengikut bidang tugas masing-masing berkait tragedi itu.

“Saya turut merakamkan ucapan takziah kepada sahabat saya, Menteri Besar Pahang Dato’ Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Negeri Pahang atas pemergian Dato’ Seri Johari Harun (EXCO Kerajaan Negeri Pahang).

“Satu kehilangan besar buat rakyat Pahang khususnya di Pelangai,” katanya.

Dalam kejadian itu 10 orang disahkan maut dengan enam daripadanya adalah penumpang termasuk Johari dan dua kru pesawat itu.

Unit Forensik Polis Diraja Malaysia melakukan siasatan di lokasi kejadian pesawat terhempas di Elmina Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto Bernama

Manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang kebetulan lalu di situ semasa kejadian.

Ketika insiden berlaku, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang semalam.


Pengarang :