AGENSISELANGOR

Hijrah bantu 2,317 usahawan mula niaga melalui peruntukan RM9.5 juta

Oleh DIANA ABD WAHAB

SHAH ALAM, 18 OGOS: Sebanyak RM9.568 juta diperuntukkan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) bagi membantu 2,317 usahawan memulakan perniagaan menerusi Skim Pembiayaan Niaga Darul Ehsan (NaDI) setakat Julai lalu.

Pengurus Kanan Operasinya Shaharuddin Yacob berkata kebanyakan peserta membabitkan wanita yang mewakili isi rumah memanfaat bantuan skim berkenaan bagi memulakan perniagaan makanan.

“Peserta skim NaDI dibantu jalankan perniagaan berdasarkan minat masing-masing menerusi kursus dan latihan yang disediakan Hijrah.

“Ia bertujuan membantu mereka yang tiada pengetahuan dalam dunia perniagaan untuk menjana pendapatan menerusi perniagaan,” katanya kepada Selangorkini.

Shaharuddin berkata Hijrah mempelawa golongan wanita khususnya mewakili isi rumah yang berhasrat memulakan perniagaan secara kecil-kecilan memohon skim itu yang menyediakan pembiayaan pakej perniagaan sehingga RM5,000.

Skim NaDI diperkenalkan selepas Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membuat pengumuman pentadbiran negeri menyediakan peruntukan berjumlah RM15 juta menerusi pembentangan Bajet 2021 bagi membantu warga Selangor yang hilang pekerjaan dan pendapatan kesan akibat Covid-19 bagi memulakan perniagaan.


Pengarang :