Wakil rakyat Kajang David Cheong (dua, kanan) bertemu penduduk Taman Seri Reko bagi menyelesaikan masalah pembersihan selepas kerja pembinaan longkang pada 18 Ogos 2023. Foto Facebook David Cheong
ADNSELANGOR

Wakil rakyat tekad teroka potensi pelancongan Kajang, jana ekonomi setempat

SHAH ALAM, 18 OGOS: Wakil rakyat Kajang bertekad mahu meneroka potensi pelancongan di Dewan Undangan Negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung sekali gus menjana ekonomi penduduk setempat.

David Cheong berkata Kajang memiliki pelbagai daya tarikan termasuk makanan dan bangunan bersejarah sesuai dengan hasratnya memajukan industri pelancongan dan kebudayaan.

“Aktiviti pelancongan akan membawa lebih ramai pengunjung ke Kajang seterusnya menambah peluang pekerjaan serta aktiviti ekonomi warganya.

“Kajang merupakan bandar sate dikenali ramai yang menjadi tarikan unik daripada segi makanan kepada pelancong.,” katanya kepada Selangorkini.

Selain itu katanya bangunan bersejarah seperti pejabat, Masjid Jamek Kajang dan Pusat Warisan Kajang dengan lebih 300 artifak sedang dipamerkan sesuai dijadikan tarikan pelancong.

“Saya sudah bincang dengan beberapa pihak dan dalam masa terdekat akan adakan pertemuan dengan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengenai perancangan membangunkan industri pelancongan Kajang,” katanya.

Beliau turut memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu sampah di kawasan Kajang yang turut menjadi punca masalah banjir kilat akibat sampah dibuang ke longkang dan menghalang aliran air.

“Saya sudah bertemu dengan Ahli Majlis dan masing-masing sudah diberikan arahan untuk pantau kawasan masing-masing dan jalankan tugas terutama berkaitan sampah ini.

“Perbincangan lanjut akan saya buat dengan MPKj dan KDEB Waste Management (KDEMWM) mengenai isu ini,” katanya.


Pengarang :