10 Ahli Dewan Negeri (ADN) yang dilantik ahlii Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

EXCO baharu junjung titah Sultan, tekad majukan negeri

KLANG, 22 OGOS: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang baharu dilantik tekad menggalas tanggungjawab sebaik mungkin demi rakyat dan kemajuan Selangor.

Ia selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang mahu pentadbiran ini membawa Selangor maju daripada segi pembangunan dan ekonomi.

Mohd Najwan Halimi (Kota Anggerik) berkata teguran Baginda supaya semua pihak berhenti bermain politik akan dipatuhi selain sedia memberi tumpuan terhadap tugas diamanahkan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) bergambar bersama Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya pastinya akan mengambil tanggungjawab ini sebaiknya demi menjunjung titah Tuanku untuk sama-sama membangunkan Selangor, jaga kebajikan rakyat dan melonjakkan ekonomi negeri.

“Tuanku pesan kurangkan berpolitik kerana pilihan raya sudah selesai. Ini masanya untuk mula bekerja dan melaksanakan yang terbaik supaya Selangor menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Anfaal Saari (Taman Templer) menganggap titah Baginda peringatan kepada wakil rakyat supaya keluar daripada zon selesa dan bekerja dengan lebih keras untuk rakyat dan negeri.

“Meskipun Kerajaan Negeri bawah Perpaduan dibentuk hari ini sudah memasuki penggal keempat, kita tidak boleh rasa selesa dan kuat.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Dr Fahmi Ngah mengangkat sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Kita perlu beri tumpuan dan melakar strategi semula untuk membangunkan Selangor selain memelihara integriti, turun padang serta menyelesaikan isu kos sara hidup rakyat,” katanya.

Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama) pula berazam memainkan peranan penting bagi membantu rakyat dan memacu kemajuan negeri walau menjadi antara ahli MMKN termuda pada penggal ini.

“Saya menghormati titah Tuanku dan insya-Allah akan cuba sedaya upaya memahami gerak kerja sebagai EXCO seterusnya tidak mengecewakan pimpinan serta pengundi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Anggerik Najwan Halimi mengangkat sumpah ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Ikrar Aku Janji di Istana Alam Shah, Klang pada 21 Ogos 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

“Saya menghargai kepercayaan kepimpinan negeri untuk memikul tanggungjawab ini. Saya berasakan betapa progresifnya Selangor kerana beri ruang anak muda berkhidmat dalam jawatan penting,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bekas speaker dan enam muka baharu dilantik sebagai ahli MMKN.

Ng Suee Lim yang menjadi wakil rakyat Sekinchan selama lima penggal digabungkan dengan enam muka baharu termasuk tiga lagi yang pertama kali dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN).


Pengarang :