Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas perhimpunan bulanan penjawat awam dan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Kutipan hasil cecah RM2 bilion, capai sasaran empat bulan lebih awal

SHAH ALAM, 22 OGOS: Selangor mencatat kutipan hasil sebanyak RM2 bilion pada minggu lalu sekali gus mencapai sasaran tahun ini, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah diperoleh empat bulan lebih awal itu dijangka terus meningkat sehingga RM2.5 bilion.

“Sehingga Jumaat lalu kita sudah capai sasaran sebagaimana dianggarkan dalam belanjawan negeri. Saya percaya jika ikut trend bulan Ogos dan September ini, kita dapat lebihan lebih baik.

“Kita menganggarkan minimum boleh sehingga RM2.3 bilion ke RM2.4 bilion kalau ikut keadaan sekarang tapi untuk capai RM2.5 bilion tak mustahil. Saya tak mahu terlalu bercita-cita,” katanya.

Bercakap pada sidang media selepas perhimpunan penjawat awam, Amirudin berkata pelaburan import dan eksport mengalami anjakan ekonomi susulan peralihan kepada sektor perkhidmatan.

Penjawat awam ketika semasa perhimpunan bulanan dan pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 22 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Ketika penularan Covid-19, beliau menjelaskan ekonomi negeri lebih bergantung kepada hab logistik dan pusat agihan malah dua sektor itu turut menyokong negeri menjadi penyumbang ekonomi terbesar.

“Tahun lepas ada anjakan 0.6 dan 0.7 peratus (pembuatan kepada perkhidmatan) dan Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) beri pandangan supaya jangan terlalu cepat melompat kepada sektor perkhidmatan.

“Maknanya kita kena perkasakan sektor pembuatan, jadi kita akan perkemaskan dan perhebatkan lagi,” katanya.

Ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada 25 November tahun lalu, Dato’ Menteri Besar menganggarkan hasil yang boleh dikutip pada tahun ini adalah RM2 bilion.

Beliau berkata penyumbang utama kepada hasil negeri adalah premium tanah sebanyak RM753.72 juta bersamaan 38 peratus daripada anggaran hasil keseluruhan.


Pengarang :