Penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengambil sampel air Sungai Langat susulan penemuan sisa minyak di muka sauk loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11, pada 22 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor
AGENDANASIONAL

Tindakan pantas LUAS letak penyerap minyak elak pencemaran Sungai Langat

SHAH ALAM, 23 OGOS: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletak penyerap minyak (oil boom dan oil pad) di aliran Sungai Langat semalam mengelakkan berlakunya gangguan bekalan air.

Agensi itu berkata pihaknya menerima laporan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berhubung penemuan sisa minyak di muka sauk loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11, pagi semalam.

Hasil pemerhatian di kawasan terbabit mendapati sisa minyak masuk melalui pembentung yang berada 123 meter dari muka sauk LRA terbabit.

“LUAS juga merawat air sungai menggunakan dua beg karbon teraktif bagi menyah bau sebelum aliran masuk ke Sungai Langat.

“Perangkap minyak (oil boom) turut diletakkan di muka sauk LRA Cheras Batu 11 bagi mengawal dan mencegah aliran berminyak selain kontraktor diarah membersihkan dan menyedut sisa minyak.

“Sampel ujian bau yang dilakukan menunjukkan bacaan sifar ton dan air sungai kembali normal,” katanya menerusi kenyataan hari ini.


Penguat kuasa Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan ujian susulan penemuan sisa minyak di muka sauk loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11, pada 22 Ogos 2023. Foto Facebook Lembaga Urus Air Selangor

LUAS berkata tindakan pantas itu membolehkan LRA Cheras Batu 11 kembali beroperasi pada jam 2.30 petang selepas dihenti tugas sementara.

Agensi itu turut memaklumkan pihaknya bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) turut menyiasat lapan premis berhampiran disyaki berpotensi menjadi punca pencemaran tersebut.

“Siasatan mendapati punca aliran minyak dari premis yang menjalankan aktiviti kuari melalui pembentung bawah tanah menuju saliran premis kilang kayu dan akhirnya ke Sungai Langat.

“Siasatan juga menemukan aliran kesan dan bau minyak yang kuat. Sampel dihantar ke jabatan kimia untuk tindakan selanjutnya,” katanya.


Pengarang :