Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan dan Keusahawanan) PKNS, Suhaimi Kasdon melawat ke tapak pameran rumah ketika program Home Buyer di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Ogos 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kempen Discover PKNS mampu tingkat jualan hartanah, gamit minat pembeli

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kempen Discover Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diyakini memberi impak positif terhadap hasil jualan hartanah bawah perbadanan itu.

Timbalan ketua pegawai eksekutif (pengurusan dan keusahawanan) berkata program promosi dan jualan yang dianjur sempena ulang tahun ke-59 perbadanan itu mampu menarik minat orang ramai khususnya pembeli baharu terhadap projek pembangunan PKNS.

Suhaimi Kasdon mengakui banyak pembeli berpotensi diperoleh sepanjang penganjuran kempen di Kota Puteri, Antara Gapi dan Bangi sebelum ini.

“Kita akan buat ‘follow up’ (susulan) dengan mereka bagi memastikan produk hartanah PKNS dapat dijual,” katanya ditemui selepas pelancaran program ‘Home Buyer’ di Kompleks PKNS di sini semalam.

Kempen Discover PKNS diadakan serentak dengan program pameran yang mengetengahkan beberapa projek hartanah seperti Residensi Advena, Seksyen 16, Shah Alam dan Puteri Ariana, Kota Puteri, Rawang.

Berlangsung sejak Jumaat hingga hari ini, kempen bertemakan ‘Jom Riuh Bersama’ menyajikan pelbagai aktiviti buat pengunjung seperti cabutan bertuah, pertandingan TikTok, puisi Hari Kebangsaan, mewarna Jalur Gemilang dan persembahan artis jemputan.

Selain itu, gerai jualan produk usahawan serta promosi panel bank PKNS antaranya Bank Simpanan Nasional, Bank Muamalat dan Bank Islam.

Turut diadakan PKNS Race bermula dari pekarangan kompleks melalui beberapa hentian yang disertai 100 pasukan dengan hadiah keseluruhan RM5,900.

Kempen Discover terakhir akan diadakan di Stadium Shah Alam pada 28 dan 29 Oktober.


Pengarang :