SHAH ALAM, 28 OGOS: EXCO sukan baharu bakal mengadakan pertemuan bersama pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dalam masa terdekat sebagai langkah awal memastikan pasukan itu terus memburu kemenangan.
Najwan Halimi berkata pihaknya berhasrat bertemu barisan pengurusan termasuk pemain serta pengendali Selangor FC Tan Cheng Hoe bagi membincangkan mekanisme dan strategi untuk menjulang Piala Malaysia dan Piala AFC musim ini.
“Kita akan bincang mekanisme dan strategi untuk jadikan Selangor FC terus cemerlang sekali gus mencapai matmalat Tawaran Kita Selangor yang mahu pasukan menjulang Piala Malaysia dan AFC.
“Dalam masa sama kita juga akan bertemu pemegang taruh semua jenis sukan untuk memastikan Selangor dapat mengulangi kejayaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2016,” katanya kepada SelangorKini.
Najwan akan memanfaatkan pengalaman sebagai timbalan pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor untuk mengemudi ke arah sukan negeri untuk meraih pencapaian lebih baik pada penggal ini.
“Pengalaman sebelum ini akan jadi nilai tambah kerana sedikit sebanyak saya sudah tahu selok belok pengurusan dan pentadbiran pasukan. Lepas ini kita fokus untuk teroka potensi baharu,” katanya.
Tawaran Kita Selangor Lima Tekad yang ditawar Kerajaan Negeri awal bulan ini memfokuskan kejayaan sektor sukan terutama bola sepak menerusi pemerkasaan akademi bagu menjuarai Piala Malaysia, Piala AFC dan Sukan Malaysia.
Dalam lima tahun ini juga Kerajaan Negeri juga bercadang memperkenalkan liga e-sukan dan pusat e-sukan di seluruh daerah.