Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), pada 19 Ogos 2023. Foto Bernama
AGENDANASIONAL

Bukit Aman siasat kes fitnah isu sekolah agama, tiga laporan diterima

SHAH ALAM, 29 OGOS: Siasatan isu fitnah kononnya pusat tahfiz dan sekolah agama persendirian di Selangor ditutup ditangani polis Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Ketua Polis negeri Datuk Hussein Omar Khan berkata tiga laporan berkenaan isu itu diterima di Perak, lapor portal Utusan Malaysia.

“Ada tiga report (laporan). JSJ BA (Bukit Aman) buka siasatan. Bukit Aman buka (siasatan) daripada laporan di Perak di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948,” katanya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semalam bertitah agar pihak polis segera mengesan kumpulan yang melempar fitnah berkenaan.

Baginda bertitah tohmahan itu menimbulkan kerisauan ibu bapa dan menghakis kepercayaan umat Islam terhadap institusi dan pihak berkuasa agama di negeri ini.

“Beta mohon pihak polis segera mengesan kumpulan pemfitnah ini dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Pada hakikatnya, Beta menitahkan agar langkah pemutihan diambil terhadap sekolah-sekolah agama dan tahfiz swasta dan persendirian tidak berdaftar dengan mengarahkan pendaftaran dibuat.

“(Ini) bagi memastikan sekolah-sekolah ini selamat dari segi ciri-ciri keselamatannya dan mempunyai suasana pembelajaran selesa untuk pelajar menimba ilmu,” titah Baginda.


Pengarang :