Gelagat beberapa ekor panda iaitu Liang Liang dan anaknya, Sheng Yi serta Xing Xing di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara pada 14 Disember 2022. Foto Facebook Bernama
AGENDANASIONAL

Zoo Negara diiktiraf antara penjaga panda gergasi terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Zoo Negara diiktiraf kerajaan China sebagai antara penjaga panda gergasi terbaik dunia susulan kejayaan melaksanakan usaha konservasi haiwan itu sejak 2014 menerusi pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang.

Timbalan Presiden Zoo Negara Datuk Rosly @ Rahmat Amat Lana berkata ia hasil keberkesanan program itu dalam melahirkan anak panda bagi tempoh yang singkat.

“Pengiktirafan ini hasil audit pakar panda dari China yang datang ke Zoo Negara setiap tahun untuk membuat penilaian. Sebagai contoh tahun ini, mereka datang pada 26 hingga 28 Julai lepas dan melihat cara pengendalian panda termasuk pemakanan dan penjagaan haiwan tersebut,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Penghantaran Pulang Yi Yi dan Sheng Yi di Pusat Konservasi Panda Gergasi, Zoo Negara di sini hari ini.

Beliau berkata Zoo Negara menerima pasangan panda Xing Xing dan Liang Liang dari China pada 2014 yang dipinjamkan kepada Malaysia selama 10 tahun sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

Pasangan panda itu kemudiannya melahirkan tiga anak iaitu Nuan Nuan pada 18 Ogos 2015, Yi Yi (14 Jan 2018) dan Sheng Yi (30 Mei 2021).

Berikutan perjanjian program pinjaman di bawah Perjanjian Kerjasama Pemuliharaan Panda Gergasi Antarabangsa antara Malaysia-China, Nuan Nuan dihantar pulang ke republik itu pada 2017, disusuli Yi Yi dan Sheng Yi hari ini.

“Kita bernasib baik kerana mereka (pasangan panda) sangat serasi dengan persekitaran di Malaysia malah jika dibandingkan dengan negara lain, tempoh kelahiran anak panda kebanyakannya mengambil masa antara enam ke lapan tahun,” katanya.

Menurut Rosly, panda jantan dan betina lazimnya tidak hidup bersama walaupun di hutan atau kurungan kerana sifat asal mereka adalah gemar bersendirian.

“Dalam setahun, mereka hanya bertemu untuk tempoh tiga hari dan sepanjang itu kita akan memantau tempoh proses mengawan mereka. Biasanya tempoh mengawan itu berlaku dalam 10 hingga ke 15 minit dengan kadang kala ia berjaya dan sebaliknya,” katanya.

Bagi memastikan tahap kesihatan keluarga panda itu berada dalam keadaan baik, Rosli berkata Zoo Negara juga telah mengkhususkan lima kakitangan yang menjaga kebajikan mereka termasuk memberi makanan bernutrisi, selain memantau tahap kesihatan dengan mengambil darah mereka setiap bulan.

“Seekor panda memerlukan 25 kilogram (kg) buluh, 10 kg daun buluh, 6 kg rebung, sekilogram kek panda dan masing-masing 500 gram buah epal dan pear dalam sehari.

“Cara penjagaannya sama seperti manusia dan kita tidak boleh berlebihan dalam memberi makanan bergula seperti kek panda dan buah-buahan sebab takut mereka akan gemuk,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :