EXCO Pembangunan Generasi Muda, Sukan Mohd Najwan Halimi berucap pada majlis penyerahan tugas portfolio Belia dan Sukan di Majlis Sukan Negeri Selangor, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam pada 24 Ogos 2023. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor, Yakeb bantu rawatan legenda sepak takraw negara

KLANG, 29 OGOS: Kerajaan Selangor dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) terus aktif membantu bekas atlet negara dengan menghulurkan bantuan perubatan kepada legenda sepak takraw negara, Suhaimi Yusof bagi rawatan strok dan pendarahan otak.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri Najwan Halimi berkata pihaknya dengan kerjasama Yakeb akan memberi bantuan dan sokongan sewajarnya bagi memastikan kebajikan Suhaimi, 55, sekeluarga terus terpelihara.

“Pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) telah serahkan pencen ilat dan peralatan sokongan untuk rawatan beliau, kerajaan negeri juga akan memberikan bantuan kewangan berdasarkan keperluan rawatannya.

“Suhaimi berjasa kepada negara dengan menyumbangkan pingat emas di Sukan Asia Beijing 1990 dan kini berkhidmat sebagai penolong jurulatih pasukan sepak takraw negara,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan bersama Pengerusi Yakeb Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed dan legenda bina badan negara, Datuk Malek Noor ke rumah pemain tersebut di sini hari ini.

Suhaimi yang merupakan sosok penting di belakang skuad takraw negara menghidapi penyakit tersebut sejak tiga bulan lepas sekembalinya dari Sukan SEA 2023 di Kemboja.

Sementara itu, Noorul Ariffin berkata pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi membela nasib lebih 800 bekas atlet di Selangor.

– BERNAMA


Pengarang :