Orang ramai mengunjungi Pameran Udara Selangor (SAS) 2021 di Pusat Penerbangan Serantau SkyPark, Subang pada 27 November 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Pameran udara berskala besar, jumlah pempamer naik hampir sekali ganda

SHAH ALAM, 5 SEPT: Seramai 117 pempamer dari dalam dan luar negara bakal menyertai Pameran Udara Selangor (SAS) 2023 mulai 7 hingga 9 September, naik hampir sekali ganda berbanding tahun lalu.

Menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta untuk penganjuran edisi kali ini, negara terlibat antaranya Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Sepanjang tiga hari, pameran bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’ dijangka dapat menarik lebih 20,000 pengunjung dalam pelbagai sektor.

Berlangsung di Skypark RAC, Bukit Jelutong, SAS akan mempamerkan 40 pesawat statik pelbagai jenis antaranya pesawat peribadi dan sukan selain memperkenal beberapa aktiviti baharu.

Helikopter model 9M-IMW milik Systematic Aviation Services Sdn Bhd yang digunakan bagi aktiviti ‘joyride’ sempena Pameran Udara Selangor (SAS) 2022 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong, Shah Alam ketika tinjauan pada 9 September 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Acara baharu termasuk sukan udara dron dan karnival kerjaya melibatkan 20 syarikat penerbangan, yang akan memberi khidmat nasihat bagi menjalani sesi temu duga selain latihan komunikasi.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Pada Mac, bekas EXCO Pelaburan Dato’ Teng Chang Khim menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM2 bilion dapat dicapai menerusi penganjuran edisi ketiga tahun ini.

Acara tahun lalu yang berlangsung pada 8 hingga 10 September mencatat potensi nilai transaksi RM1.174 bilion, manakala SAS 2021 yang julung kali diadakan merekodkan RM100 juta.


Pengarang :