Pengunjung mengambil peluang menyertai karnival kerjaya ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Karnival kerjaya SAS gamit minat gadis Jakarta, intai peluang jadi juruterbang

SHAH ALAM, 9 SEPT: Karnival Kerjaya yang julung kali diketengahkan pada Pameran Udara Selangor (SAS) menggamit minat seorang gadis dari Jakarta, Indonesia untuk mengintai peluang kerja sebagai juruterbang.

Eli Nur Aisah, 21, teruja dengan pembabitan banyak syarikat penerbangan dan aeroangkasa ketika hadir pada pameran di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Bukit Jelutong di sini bersama rakannya Muhammad Al Zickrullah, 23.

Dia yang baharu memperoleh lesen Airbus 320 daripada Akademi Penerbangan Bali selepas dua tahun mengikuti latihan berpeluang menghantar permohonan kerja di syarikat AirAsia.

Eli Nur Aisah, 21,

“Selepas tahu mengenai pameran ini melalui Instagram saya memutuskan datang ke Malaysia. Kebetulan pula saya belum dapat kerja selepas lulus sekolah penerbangan.

“Sejak kecil saya bercita-cita jadi juruterbang, jadi saya harap syarikat terbabit boleh ambil saya sebagai pembantu juruterbang (co-pilot) kerana saya mahu cari pengalaman serta menambah jam penerbangan,” katanya ketika ditemui di pameran berkenaan semalam.

Sementara itu, Al Zickrullah yang juga pelawat perdagangan dari Acheh, Indonesia memanfaatkan pameran udara kali ini untuk bertemu kenalan terlibat dalam industri kejuruteraan pesawat.

Dia yang berkhidmat sebagai jurutera di sebuah syarikat penerbangan di Senai, Johor sejak dua tahun lalu turut berkesempatan melawat ruang pameran yang menghimpunkan ratusan pempamer.

Muhammad Al Zickrullah, 23,

“Pertama kali hadir ke SAS, saya terpegun tengok banyak pempamer di sini. Ini peluang saya bertemu rakan-rakan baharu dan membina jaringan demi kemajuan sektor penerbangan.

“Pada masa sama ia mampu menarik minat pelawat tempatan dan antarabangsa terutama yang bekerja dalam industri penerbangan,” katanya.

Pameran Kerjaya antara pengisian baharu SAS dengan menampilkan 25 pempamer daripada pelbagai syarikat dari dalam dan luar negara.

Bertemakan ‘Satu-satunya Pertunjukan dan Perniagaan Penerbangan di Rantau ini’, SAS 2023 dijangka menarik lebih 20,000 pengunjung dalam pelbagai sektor manakala potensi nilai transaksi RM700 juta.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.

Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengarang :