Pengunjung berpeluang mengendalikan dron dari Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Akademi sukan dron kongsi teknologi kepada pengunjung pameran udara negeri

SHAH ALAM, 9 SEPT: Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara (Aksadron) memanfaatkan penganjuran Pameran Udara Selangor 2023 (SAS 2023) sebagai medium untuk berkongsi kepakaran dalam industri dron kepada masyarakat.

Ketua Pelatih Aksadron Muhaimin Osman berkata menerusi pameran itu, pihaknya berpeluang mendedahkan teknologi dron yang dipraktikkan di akademi tersebut kepada orang awam.

Ketua Pelatih Akademi Kecemerlangan Sukan Dron Negara Muhaimin Osman ditemui ketika Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKIN

“Akademi ini bawah Futurise iaitu anak syarikat milik penuh Cyberview Sdn Bhd di bawah Kementerian Kewangan (MoF). Menerusi akademi ini, kita ajar keseluruhan penggunaan dron termasuk kaedah pemasangan.

“Setakat ini, kita telah melatih lebih 200 pelajar universiti dengan menganjurkan program selain membantu mereka menubuhkan kelab dron. Secara tidak langsung, kita dapat melahirkan pakar dalam industri dron,” katanya ketika ditemui di pameran berkenaan semalam.

Selain pelajar, Muhaimin berkata orang awam yang berminat mengikuti kelas dron juga boleh menyertai kelas anjuran akademi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar dihadapan Kenderaan penunda elektrik bagi pesawat komersial pertama di Malaysia ketika di Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark. FOTO NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

SAS 2023 yang membuka jaringan perniagaan kepada pemain industri penerbangan dirasmikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 7 September.

Pameran yang mengangkat tema ‘Selangor Hab Penerbangan Am dan Perniagaan ASEAN’ SAS 2023 itu berjaya menarik 117 pempamer dengan lebih 50 pesawat statik mengambil bahagian.

Menyasar dilaksana pada skala lebih besar menjelang 2025, pameran yang mendedahkan orang ramai kepada dunia aeroangkasa itu turut disasar menjadi pameran udara nombor satu di rantau Asia dan Asia Tenggara menjelang 2030 daripada segi kualiti pelawat yang ditarik.

Pameran Penerbangan Selangor 2023 di Pusat Penerbangan Wilayah Skypark, Shah Alam pada 8 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pameran pada kali ini juga menyasar potensi nilai transaksi RM700 juta dan antara negara terlibat Amerika Syarikat, Perancis, Denmark, Singapura, Australia dan Hong Kong.

Mula dianjur sejak 2021, SAS menjadi landasan Kerajaan Negeri menggalakkan pertumbuhan sektor aeroangkasa dan membantu syarikat tempatan serta usahawan kecil dan sederhana meneroka bidang itu.


Pengarang :