Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan (belakang, tengah) bersama pelajar yang memenangi pertandingan pada majlis perasmian Ekspo Buku Petaling Jaya 2023 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 11 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Petaling Jaya diiktiraf bandar raya mesra kanak-kanak pertama di Malaysia 

PETALING JAYA, 12 SEPT: Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mengiktiraf Petaling Jaya sebagai Bandar Raya Mesra Kanak-Kanak pertama di Malaysia.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berkata kejayaan itu wajar dibanggakan kerana Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) adalah pihak berkuasa tempatan pertama (PBT) di negara ini menerima anugerah tersebut.

“Kita baru dapat pengiktarafan minggu lalu di Sepanyol dan Datuk Bandar (Mohamad Azhan Md Amir) masih berada di sana kini.

“Kita bangga menerima pengiktirafan ini kerana bukan mudah untuk mendapatkannya dan sudah empat tahun kita berusaha,” katanya selepas merasmikan  Ekspo Buku Petaling Jaya 2023 (PJBX2023) di Dewan Sivik MBPJ hari ini.

Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya Aznan Hassan berucap pada majlis perasmian Ekspo Buku Petaling Jaya 2023 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada 11 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Selain menyediakan kemudahan mesra kanak-kanak, Aznan berkata antara kriteria yang melayakkan Petaling Jaya menerima pengiktirafan berkenaan adalah kerana insiatif mewujudkan Majlis Kanak-Kanak dalam organisasi PBT.

“Bandar ini mesra kanak-kanak dari segi kemudahannya. Selain itu, kita juga mendekati mereka melalui Majlis Kanak-Kanak yang dianggotai oleh 24 individu berumur enam hingga 17 tahun yang ada bersama ketika mesyuarat penuh MBPJ.

“Tujuannya adalah mereka lebih matang, mengeluarkan idea (bandar mesra kanak-kanak) dan mencungkil bakat kepimpinan,” katanya.

Jun lalu, wakil UNICEF Malaysia Amanda Bissex mengumumkan Petaling Jaya  dicalonkan sebagai bandar raya mesra kanak-kanak dalam Majlis Perasmian Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-16.


Pengarang :