Orang ramai membeli barang keperluan asas yang dijual murah dalam program Jelajah Ehsan Rahmah DUN Balakong di balai raya Taman Cheras Utama, Kajang pada 3 September 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mohon tambah subsidi, lebih ramai rakyat peroleh manfaat jualan murah

SHAH ALAM, 12 SEPT: Kerajaan Negeri dimohon pertimbang menambah subsidi bagi barangan di Jelajah Ehsan Rahmah (JER) pada masa akan datang.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam Mohd Firdaus Mokhtar berkata ia berikutan rakyat ternanti-nanti jualan murah itu yang tidak boleh didapati di mana-mana negeri.

“Kerajaan Selangor ada 46 inisiatif tetapi JER antara yang paling dekat di hati rakyat kerana barangan yang ditawarkan amat berpatutan.

“Justeru, saya mohon Kerajaan Negeri pertimbang tambah subsidi dan pelbagaikan lagi barangan supaya lebih ramai rakyat dapat manfaat ini,” katanya.


Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Mohd Firdaus Mokhtar ditemui di Jelajah Ehsan Rahmah (JER) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik pada 12 September 2023. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Beliau yang ditemui di JER Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik di sini hari ini berkata sebanyak 11 kali jualan murah dianjurkan di DUN itu sejak 2020 dan sambutan penduduk sangat menggalakkan.

“Kami di peringkat ahli majlis sediakan logistik kepada pengunjung dan pihak PKPS (Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor) hanya datangkan produk jualan.

“Hari ini kita menggunakan sistem nombor dan Alhamdulillah jualan murah ini sering mendapat permintaan tinggi daripada penduduk,” katanya.

Jualan murah ini adalah kesinambungan Jualan Ehsan Rakyat sebelum ini yang dijenamakan semula pada 1 Jun dan diteruskan hingga Disember depan, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN).

JER menawarkan ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10 per pek) dan telur gred B (RM10 sepapan), ikan kembung (RM6 setiap pek), minyak masak lima kg (RM25) dan beras lima kg (RM10).

Lokasi terkini JER seluruh negeri boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR di poster jualan atau pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :