Antara kenderaan yang ditunda Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana melakukan kesalahan meletak kenderaan di merata tempat. Foto MPK
PBTSELANGOR

Parkir merata tempat antara punca MPK tunda kenderaan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak berkompromi dengan mana-mana pihak melakukan kesalahan melibatkan jalan raya seperti tidak meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan.

Pengarah Komunikasi Korporat Norfiza Mahfiz berkata terdapat beberapa faktor menyebabkan orang ramai bertindak meletak kenderaan merata-rata.

“Terdapat di kalangan mereka tidak mahu membayar kupon letak kereta selain kepadatan kenderaan di sesuatu kawasan terutamanya di kawasan perniagaan semasa waktu urusan pejabat.

“MPK juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang meletak kenderaan mereka di parkir orang kurang upaya (OKU) tanpa mempunyai pelekat berkenaan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Norfiza menambah terdapat beberapa lokasi khususnya kawasan perniagaan seperti Bandar Baru Klang dan Klang Selatan menjadi kawasan tumpuan MPK menunda kenderaan.

“Kawasan tersebut adalah Jalan Mohet/Jalan Tali Air, Jalan Stesen /Jalan Stesen 1, Jalan Raya Timur, Jalan Datuk Hamzah dan Jalan Tengku Kelana.

“Kawasan ini menjadi tumpuan orang ramai yang gemar meletak kenderaan di bahu jalan sehingga mengganggu lalu lintas,” katanya.

Norfiza berkata pihaknya juga memandang serius salah seorang pengguna TikTok yang tidak berpuas hati dengan tindakan MPK menunda kenderaannya.

“Tindakan beliau yang menghamburkan kata-kata kesat kepada anggota penguat kuasa amat dikesali sedangkan kita mengikut tatacara perundangan yang ditetapkan,” jelasnya.


Pengarang :