Kakitangan Perbadanan Wakaf Selangor bergambar bersama guru Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Banting Rokiah Md Nor selepas menyerahkan cek sumbangan wakaf fisabilillah pada 14 September 2023. Foto Perbadanan Wakaf Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Wakaf Selangor agih RM1.2 juta kepada 31 institusi agama, pendidikan

SHAH ALAM, 14 SEPT: Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) mengagihkan sumbangan wakaf fisabilillah berjumlah RM1.2 juta kepada 31 institusi seluruh negeri ini sehingga Ogos lalu.

Timbalan ketua pegawai eksekutifnya berkata institusi itu membabitkan masjid, surau, sekolah, hospital dan surau di bangunan Jabatan Agama lslam Selangor (Jais) bagi tujuan pembangunan dan penaiktarafan.

“Sumbangan tersebut merupakan sebahagian inisiatif PWS dalam mengoptimakan penyaluran wakaf dengan menyantuni institusi keagamaan, pendidikan dan kesihatan.

“Selain pembangunan dan penaiktarafan, ia juga untuk pembelian aset-aset kekal atau yang boleh memberi manfaat dengan tempoh hayat penggunaan sekurang-kurangnya lima tahun,” kata Anuar Hamzah Tohar menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau menyerahkan cek sumbangan wakaf fisabilillah Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bandar Banting Rokiah Md Nor berjumlah RM50,000 bagi tujuan menaik taraf dewan sekolah.

Beliau berkata, PWS komited dalam menyediakan pelbagai platform untuk orang ramai mewakafkan harta sama ada dalam bentuk harta alih seperti wakaf tunai dan harta tak alih seperti tanah atau premis bagi tujuan meningkatkan dan mengembangkan pelaburan wakaf.

“Orang ramai boleh melaksanakan wakaf tunai melalui PWS dengan melayari https:/lfpx.wakafselangor.gov.my/ewo_login.asp untuk berwakaf tunai atau melalui DuitNow QR,” katanya.


Pengarang :