Jemaah menunaikan solat Jumaat dengan saf rapat susulan peralihan negara ke fasa endemik ketika tinjauan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 1 April 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan keluar fatwa sendiri dahului pihak berkuasa

SHAH ALAM, 15 SEPT: Khutbah Jumaat mengingatkan umat Islam supaya tidak mengeluarkan kenyataan atau ‘fatwa’ sendiri secara terburu-buru, dengan mendahului pihak berkuasa.

Menurut teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), keadaan lebih parah jika pandangan itu mempunyai kepentingan peribadi atau memberi kelebihan kepada kumpulan tertentu.

Seperti di Selangor, fatwa yang dikeluarkan perlu mendapat kata sepakat ahli Jawatankuasa Fatwa dalam kalangan ulama’ dan pakar, bukan pandangan seorang mufti semata-mata.

Khutbah menjelaskan tindakan itu selaras Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, seksyen 48(2) dengan mufti perlu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan fatwa yang dicadangkan.

“Berdasarkan enakmen ini, maka fatwa adalah keputusan kolektif pandangan para alim ulama’ dan pakar bidang tertentu, supaya keputusan dikeluarkan lebih tepat seterusnya membawa kebaikan kepada umat Islam dan seluruh rakyat,” menurutnya.

Mimbar juga mengingatkan fatwa yang dikeluarkan perlu membawa kestabilan dan keamanan sesebuah negeri atau negara, selain bersifat menyelesaikan masalah dan merungkai persoalan masyarakat.

“Bukan fatwa sekiranya pandangan dibuat golongan berkepentingan, ahli politik, pelampau agama, golongan sesat dan orang-orang jahil. Kebiasaanya akan menyebabkan perpecahan, keganasan, kekusutan serta mencetus kebimbangan kepada masyarakat,” jelasnya.

Selasa lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Baginda bertitah fatwa yang dikeluarkan ahli politik boleh mencetuskan perbalahan, perpecahan dan keganasan dalam masyarakat yang akhirnya meranapkan tamadun sesuatu bangsa.


Pengarang :