Presiden dan Naib Canselor UNISEL merangkap Pengerusi Eksekutif Institut Darul Ehsan (IDE) Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman berucap ketika Wacana Pemicuan Undi 18 Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 13 November 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Naib canselor: Ambil serius titah Sultan, elak pecah belah rakyat

SHAH ALAM, 15 SEPT: Titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menegur pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan jelas membuktikan keprihatinan Baginda terhadap isu perpaduan yang semakin terhakis.

Presiden dan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkata titah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj agar semua pemimpin politik mengelak daripada memecahbelahkan rakyat wajar dihormati dan diambil serius oleh semua pihak.

“Negara kita tidak sama dengan negara lain. Kita perlu ada sikap hormat menghormati antara kaum. Wajar dan perlu setiap kelompok menghormati pandangan Sultan Selangor.

“Sudah tentu apabila Sultan Selangor beri pandangan, ada sesuatu yang menjadi keprihatinan baginda sehingga baginda terpaksa bertitah,” kata Prof Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman ketika dihubungi hari ini.

“Saya amat menjunjung tinggi titah Baginda. Memang ada kelompok yang rasa dia popular dan berkuasa, sedangkan tiada sesiapa boleh atasi undang-undang.”

Pada 12 September, Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.

Sebaliknya, baginda bertitah pemimpin perlu menanam dan memupuk semangat perpaduan erat dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama demi kesejahteraan negara.


Pengarang :