Sekitar mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pembangkang junjung titah Sultan, hati-hati dalam berhujah

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pembangkang berjanji untuk berhati-hati dalam berhujah bagi mengelak daripada menyentuh isu agama yang dibimbangi menggugat keharmonian kaum di Selangor.

Menjunjung titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Ahli Dewan Negeri Morib Rosnizan Ahmad menegaskan mereka tidak menggunakan agama sebagai alat politik.

Beliau menjelaskan pemimpin politik di Selangor baik blok kerajaan mahupun pembangkang sentiasa memelihara aspek tersebut, malah mereka menghormati semua kaum dan agama.

ADN Morib Rosnizan Ahmad ditemui pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI

“Pada peringkat kami Perikatan Nasional (PN) Selangor, kami hormati semua kaum dan agama. Saya menjunjung kasih titah Sultan Selangor yang menegur (pemimpin politik).

“Kita akan berhati-hati sebab kita tahu Selangor tidak seperti negeri lain kerana (rakyat) berbilang kaum. Cuma seperti di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang majoriti Islam, mungkin gelombang sana datang ke Selangor hingga menyebabkan isu tersebut menjadi besar,” katanya.

Wakil rakyat Paya Jaras Prof Datuk Dr Abd Halim Tamuri pula berkata semua pihak tanpa mengira ahli politik mahupun orang awam harus mengambil serius titah Baginda demi kebaikan bersama.

“Semua harus hati-hati dan jangan salah guna agama kerana ia boleh membawa pelbagai isu yang boleh disalah tafsir. Orang yang layak menghuraikan soal agama hanya orang yang ada kualiti.

“Jangan sampai kita melangkaui batas sebab perkara ini sensitif. Sebagai negeri majmuk, kita kena betul-betul memahami konteks dan suasana bagi mengelak disalah tafsir,” katanya.

Pada 12 September, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Baginda menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab juga perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :