Seramai 56 Ahli Dewan Negeri merakam foto bersama selepas Istiadat pembukaan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) pada mesyuarat pertama (angkat sumpah) persidangan penggal pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 di Bangunan Annex, pusat pentadbiran rasmi Kerajaan Negeri, Shah Alam pada 19 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Pemimpin perlu amal semangat madani demi lahirkan rakyat sejahtera

SHAH ALAM, 19 SEPT: Pemimpin perlu mengamalkan semangat madani dalam melahirkan kesepakatan serta kesejahteraan masyarakat.

Ahli Dewan Negeri Pelabuhan Klang berkata prinsip berkenaan memberi kesan baik berbanding menggunakan isu agama atau perkauman ketika mendekati rakyat.

ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri

“Kita berbilang kaum. Ada masyarakat yang majmuk. Lebih baik kita fikirkan bagaimana nak satukan rakyat dan dapatkan kegemilangan.

“Jangan hanya fikir mahu bersaingan dengan musuh (politik) semata tetapi fikirkan generasi akan datang. Yang dah lama (veteran) kena jadi contoh. Kalau lihat sejarah, sikap pemimpin ini boleh jadi punca (sengketa),” kata Azmizam Zaman Huri.

Manakala wakil rakyat Seri Serdang Abbas Azmi berkata pemimpin perlu mengetepikan isu sensitif dan hanya tumpu kepada kebajikan rakyat memandangkan musim pilihan raya sudah berlalu.

ADN Seri Serdang Abbas Azmi

“Masih mainkan isu ini sebab nak heret rakyat. Ini untuk kepentingan politik sendiri. Sekarang masa untuk kerja dan bantu semua penduduk tanpa mengira kaum, agama.

“Tumpukan pembangunan. Selangor ada pelbagai kaum, agama. Seharusnya kita bergerak lebih maju,” katanya.

Pada 12 September, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru pemimpin politik supaya tidak memperalat agama bagi meraih sokongan dengan memangsakan rakyat untuk kepentingan diri.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj juga menegaskan perbuatan mengeluarkan fatwa secara tidak bertanggungjawab perlu dihentikan demi memelihara perpaduan rakyat di negara ini.


Pengarang :