EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi dan EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menzirahi mangsa ribut yang berteduh di pusat pemindahan sementara Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Hulu Langat pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Negeri bantu baik pulih rumah mangsa ribut di Beranang, tunggu bancian selesai

HULU LANGAT, 20 SEPT: Kerajaan Negeri akan membantu membaik pulih kediaman mangsa yang terjejas ribut di lima lokasi sekitar Beranang di sini semalam.

EXCO pengurusan bencana memaklumkan perkara itu akan dibawa ke perhatian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dalam masa terdekat bagi kelulusan peruntukan.

Menurut Mohd Najwan Halimi, Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat membuat bancian bagi mengenal pasti tahap kerosakan rumah dengan laporan penuh dijangka diperoleh selewat-lewatnya tiga hari.

“Kita kena tengok dulu daripada segi kerosakan sebelum kerja baik pulih dibuat memandangkan ada rumah yang rosak sepenuhnya dan rosak pada bahagian tertentu seperti bumbung tercabut kerana dihempap pokok.

“Begitu juga jumlah kerugian dialami mangsa terlibat. Selepas itu tindakan susulan (baik pulih rumah) akan dibuat,” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, Mohd Najwan bersama EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari menziarah mangsa bencana di pusat pemindahan sementara (PPS) Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang di sini hari ini

Lawatan ke PPS yang menempatkan 43 mangsa daripada 10 keluarga turut dihadiri Ketua Tanggungjawab Sosial Korporat dan Komunikasi Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor.

EXCO Pengurusan Bencana Mohd Najwan Halimi diberi taklimat oleh pegawai unit pengurusan bencana negeri berhubung keadaan mangsa terjejas ribut ketika melawat pusat pemindahan sementara Surau Tengah Kampung Sesapan Batu Rembau, Beranang, Hulu Langat pada 20 September 2023. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI

 

Mohd Najwan memaklumkan Sukarelawan Selangor (Serve) turut digerakkan sejak semalam bagi membantu membersihkan kediaman mangsa.

“Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada mereka yang terjejas. Walaupun tiada kemalangan jiwa berlaku, namun ada beberapa mangsa cedera dan sudah diberi rawatan.

“Insya-Allah, Kerajaan Negeri akan terus memantau perkembangan di sini dari semasa ke semasa,” katanya menambah bencana itu kedua terburuk selepas banjir besar pada 2021.

Ribut yang melanda Beranang kira-kira 7 petang semalam mengakibatkan 96 kediaman penduduk terjejas membabitkan 370 mangsa.

Mereka terdiri dari Kampung Paya Tanjung, Kampung Sesapan Batu Minangkabau, Kampung Sungai Jai, Taman PKNS Beranang dan Kampung Sesapan Batu Rembau.

Keadaan rumah yang rosak susulan kejadian ribut di beberapa kawasan di Hulu Langat pada 19 September 2023. Foto Laman X Najwan Halimi 

 


Pengarang :