Sukarelawan Selangor (Serve) membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling, Kedah pada 8 Julai 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

102 penduduk Baling dipindah ke PPS akibat banjir kilat

ALOR SETAR, 22 SEPT: Seramai 102 penduduk terdiri daripada 33 keluarga dipindahkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran banjir kilat di daerah Baling, malam tadi.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata dua PPS tersebut adalah Masjid Islahiyah Tawar dan Masjid Binjul Luar.

“PPS Masjid Islahiyah Tawar yang dibuka pada pukul 11 malam menempatkan 91 mangsa daripada 31 keluarga, manakala PPS Masjid Binjul Luar yang dibuka pada 12 tengah malam itu pula menempatkan 11 mangsa daripada dua keluarga.

“Kesemua mangsa dipindahkan ke dua PPS berkenaan selepas rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berlaku di sekitar Baling sejak petang, semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau hujan lebat itu juga telah menyebabkan air Sungai Ketil melimpah ke tebing di Kampung Padang Empang dan Kampung Iboi.

Beliau berkata bacaan paras air sungai berkenaan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Stesen Sungai Ketil di Kampung Kuala Pegang menunjukkan melebihi paras bahaya iaitu 36.19 meter setakat 8 malam tadi.

“Kesemua mangsa yang dipindahkan berada dalam keadaan selamat dan sedang dipantau oleh agensi yang terlibat serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :