Yang Dipertua MPAJ Dr Ani Ahmad berucap ketika program gotong-royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia peringkat MPAJ di Taman Bukit Indah Fasa 2, Ampang Jaya pada 23 September 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPAJ belanja RM53 juta setahun urus sisa pepejal, tingkat kebersihan bandar

AMPANG JAYA, 23 SEPT: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) membelanjakan sejumlah RM53 juta setahun untuk pengurusan sampah di kawasan pentadbirannya.

Yang Dipertuanya Dr Ani Ahmad berkata kos itu boleh dikurangkan sekiranya penduduk bekerjasama melakukan pengasingan sampah dan membudayakan kitar semula di rumah masing-masing.

“Memang dari semasa ke semasa agenda untuk merawat dan kumpul sampah adalah agenda utama di MPAJ.

“(Kita anggarkan) kira-kira 612,000 penduduk di Ampang Jaya kesemuanya menghasilkan sampah. Jadi, jika sampah tidak diuruskan dengan baik ia akan memberi kesan kepada keseluruhan kos pengurusan sampah di peringkat MPAJ.

“Kos tahunan kita untuk pengurusan sampah sahaja RM53 juta, sebab itu kalau boleh kurangkan sampah dipunca ia akan bantu kurangkan kos pengurusan sampah di peringkat MPAJ,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian program Gotong-Royong Perdana sempena sambutan Hari Pembersihan Sedunia 2023 di Taman Bukit Indah Fasa 2, Ampang Jaya yang disempurnakan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail hari ini.

Ani berkata bagi menyokong usaha masyarakat membuat pengasingan sampah di punca serta membudayakan kitar semua dalam kalangan penduduk pihaknya menyediakan pusat pengumpulan sisa termasuk minyak terpakai di beberapa kawasan seperti pasar.

“Kita juga menyediakan pusat pengumpulan bahan buangan e-sisa supaya penduduk dapat melupuskannya dengan kaedah yang betul tanpa mencemarkan alam sekitar kerana sisa buangn ini mempunyai logam yang sangat merbahaya jika salah cara pelupusannya,” katanya.


Pengarang :