AGENDAJENAYAH

Terperdaya tawaran pelaburan di Facebook, warga emas rugi hampir RM300,000

BATU PAHAT, 23 SEPT: Seorang warga emas berusia 68 tahun mendakwa kerugian sebanyak RM289,067.58 selepas terpedaya dengan pelaburan tidak wujud melalui aplikasi Facebook.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat ACP Ismail Dollah berkata mangsa lelaki tempatan itu telah berurusan dengan seorang wanita pada 24 Ogos lepas menggunakan Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Katanya mangsa telah diajak olek suspek untuk menyertai skim pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lumayan, dan mangsa kemudiannya diminta memuat turun aplikasi ‘Nicshare’ dengan menekan pautan pelaburan berkenaan.

“Pada masa yang sama mangsa telah memberikan maklumat seperti nama, nombor kad pengenalan dan maklumat akaun bank bagi tujuan pendaftaran.

“Mangsa juga telah diterangkan cara-cara mengendalikan aplikasi tersebut dan diberitahu keuntungan akan diperoleh mengikut kemampuan modal masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ismail mangsa telah berminat dengan tawaran itu dan telah membuat pindahan wang ke dalam tujuh akaun yang berbeza mulai 24 Ogos hingga Khamis lepas atas arahan wanita tersebut.

“Namun setelah pembayaran dibuat mangsa tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

— BERNAMA

 


Pengarang :