BUDAYARENCANA

Bintang

Oleh Lucy M

Sudah berapa lama kakiku tak menjejak kawasan ini? Wabak kovid-19 yang tercetus tiga tahun lepas, tanpa sedar, membenam keinginan bersiar-siar. Kurang pasti kenapa, petang itu, aku tiba-tiba saja menyalin baju yang lebih elok daripada apa sedang kupakai setelah habis makan siang (yang terlewat), memakai kasut sport dan berjalan kaki menuju stesen LRT. Tanpa ada destinasi jelas, tentunya. Dan sepanjang perjalanan, kulihat langit kelabu dan menggelap. Aku turun di KL Sentral, sedikit gusar harus buat apa dan putuskan untuk menyelit di kerumunan yang kelihatan bergegas lalu dapati aku sudah pun berada dalam monorel. Stesen akhirnya, Titiwangsa. Di laluan ini, hanya satu tempat saja yang sedikit sebanyak kukenal, Bukit Bintang.

Bermacam papan tanda, teriak dan nyanyian melupakan aku kepada kemungkinan hujan kelak menimpa. Aku, seperti keramaian, tersihir untuk terus melangkah, berpusing, dan terpaku di hadapan kiosk-kiosk sofistikated, yang menyebabkan sesak, namun anehnya tidak merimaskan. Inilah kebiasaan kawasan ini dan inilah apa yang ia perlukan. Membayangkan rentang jalan yang penuh ini hening ketika perintah berkurung berkuatkuasa, memunculkan hiba, membuatku bersyukur segalanya telah pun kembali pulih. Walaupun lampu-lampunya menyilaukan dan roman pekerja rata-ratanya lesu dan tegang.

Dan malam pun berlabuh. Tapi rumah belum lagi aku fikirkan. Mengapa tidak aku berlama-lama saja di sini, sehinggalah jam terakhir LRT masih boleh digunakan memandangkan gerai-gerai yang tidak kutemui di siang hari hanya buka di waktu malam, begitu juga kumpulan-kumpulan busking yang merancak suasana. Lagi pula, Isnin esok, cuti peristiwa meraikan kemenangan parti bekas kerajaan dalam pilihan raya negeri.
Itulah apa kubuat. Selepas dikenyangkan bakso tenis dan aiskrim Turki ( oh rasanya biasa biasa saja), aku membelek kasut-kasut terpakai di butik bersebelahan. Harganya berpatutan, aneka rekaan menarik dan ketahanan setiap darinya kujangka boleh menjangkau setahun dua lagi. Kubeli sepasang moc toe, jenamanya tak kukenal tapi kudapatkan jua kerana warna yang memikat, cokelat karamel. Segera kutukar dengan kasut kusarung, yang memang telah terlondeh tebingnya, mengusik pemilik butik jika dia inginkannya. Cuci dulu, jawabnya dan kami bersama ketawa.

Setelah semua itu, barulah aku merasa puas dan selesai. Tatkala aku beredar, kulihat seorang lelaki duduk bercangkung tidak jauh, dalam remang, di hadapan pusat karaoke yang lingkup. Kuingat awalnya seorang penjahit kasut, tapi dalam bagasinya bersusun minyak, kain dan tisu. Seorang tukang urut. Seorang buta. Seorang Cina.

Memerhatikannya, belakangku jadi ngilu, yang sememangnya bermasalah sejak enam bulan lalu. Natijah regangan yang tak betul. Mungkin sebuah urusan lagi sebelum pulang, kataku dan mendekatinya, bertanya perkhidmatan yang disediakan.

Duduklah, dia berikan aku kerusi, walaupun sebarang harga belum disebut dan dipersetujui. Aku duduk walaupun agak ragu disebabkan kegopohan itu. Mana sakit, tanyanya. Belakang, jawabku, menerangkan butiran yang kumahu dia dengar dan pertimbangkan dulu sebelum berbuat apa-apa, agar tidak ada kesakitan lain yang tak perlu, mengapit tubuhku. Antara semua botol yang ada, kebanyakan berwarna gelap dan galak, botol kuning kundang yang dibuka. Baunya seperti minyak kayu putih, cuma lagi tajam dan dingin menyentuh kulit.

Dia tak berbasa-basi, mungkin itulah caranya menjalankan urus niaga. Mungkin juga kedatanganku bukan pada hari yang begitu baik untuknya. Dia menepuk dua kali kawasan tulang belikat dan seolah-olah turut menghembusnya sebelum tamatkan sesi. Urutannya murah sahaja, beberapa kali aku sendawa, aku jadikan itu sebagai indikator urutannya berkesan tapi harga rendah itu jadikan aku kurang selesa dan rasa bersalah. Aku keluarkan sekeping RM10 lagi, bercadang memasukkannya ke saku baju kemeja lengan panjangnya sebelum berlalu. Tapi dia menepis, dengan sopan, dan memandangku seakan-akan boleh melihat. Itu, katanya, panau… sudah berapa lama?

Panau yang dimaksudkannya, ada di belakangku, bertebaran bagai peta dunia. Pertanyaan itu buatku tergamam. Atau tersinggung, sejujurnya. Aku tak menjawab. Entah ke mana hala tuju perbualan jika aku berikan jawapan.

Dulu, saya juga ada panau, sambungnya, menarik lengan baju ke paras siku. Sini, sini, semua dulu ada panau, tapi sekarang sudah hilang. Dia bakar sebatang rokok, sebahagian dari hal tidak wajar dilakukan setelah mengejek seseorang. Kemudian, minta aku duduk, seperti ingin lanjutkan perbualan.
Jangan marah, bos. Saya bukan buat lucu itu panau.

Jadi buat apa, tinggi suara, aku bertanya.

Dia faham yang aku tak faham apa ingin disampaikan. Bermulalah cerita panjangnya, bahawa namanya Tan. Berpanau sejak darjah dua. Melintang dari pergelangan tangan sampai ke batang leher. Makan ubat, yang berganti-ganti, panaunya separuh sembuh dan hanya berkumpul di sekitar siku.

Di sekolah menengah, dia dipanggil Tang. Singkatan untuk Bintang. Bintang yang ada di sikunya. Panggilan itu melekat sampai habis tingkatan lima. Dan diakui meratah yakin diri. Namun walaupun jumlah ubat kian bertambah, yang ditelan, yang disapu, panau-panau itu tak hilang sinar.

Kecelakaan semasa mengimpal di bengkel merosakkan kedua-dua matanya. Siapa pun diaibkan tragedi sebesar itu, lazimnya kemurungan. Tan hampir mengambil nyawa sendiri, kalau bukan kerana kejadian itu. Yang ganjil tapi beriktibar. Panau di tangannya bercahaya persis hamparan bintang.

Saya ingat saya sudah gila. Tan tersengih-sengih, mengusap siku. Menerusi cahaya itulah, dia mencerap sekeliling yang telah berubah rupa. Saya bagitahu kawan-kawan yang sama buta juga ini cerita, dia orang cakap, itu cahaya, cara otak kasi badan sedia sama persekitaran baru. Bukan betul-betul cahaya. Tipu-tipu saja.

Dan panau itu sembuh sesudah Tan berkahwin. Bagaimana dia tahu? Selain informasi daripada orang terdekat, tak ada lagi cahaya serupa dapat dilihatnya. Orang buta bukan tak boleh tengok sama sekali, bos. Cuma lain macam saja. Itu cahaya memang lain macam. Tidak sama itu lilin, itu lampu bangunan. Itu kenderaan.

Memang panau-panau itu aku usaha padamkan dan Tan mungkin sekadar menipuku, tapi dapat apa dia dengan berbohong? Dia tak jual ubat panau.

Bunga api meletus di udara. Keramaian bersorak dan menari. Membelakangkan Tan, kulihat dia tersenyum. Pandangannya, kusedari, tak mengarah ke langit.

 


Pengarang :