Pengurus Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Jeffry Johari (kanan) menyerahkan cabutan bertuah kepada pengunjung Jelajah Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

DUN Lembah Jaya anjur cabutan bertuah, hargai pengunjung jualan murah

AMPANG JAYA, 25 SEPT: Seramai 20 pengunjung Jelajah Ehsan Rahmah (JER) di Laman Niaga @ Ampang Waterfront di sini terpilih menerima cabutan daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya.

Pengurusnya Jeffry Johari berkata inisiatif itu bagi menghargai sokongan penduduk DUN berkenaan terhadap program jualan murah anjuran Kerajaan Negeri.

Pengurus Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Jeffry Johari

“Mereka ini sering ikuti JER malah sanggup datang seawal jam 7.30 pagi untuk beratur mendapatkan nombor giliran masing-masing.

“Jadi setakat ini sudah masuk tiga kali kita buat cabutan bertuah sebagai pengisian aktiviti dan penghargaan kepada sokongan dan komitmen mereka dalam program kerajaan negeri,” katanya yang turut memaklumkan setiap penerima membawa pulang barangan dapur seperti gula dan beras.

Jeffry berkata setakat Januari hingga kini sekurang-kurangnya 30 jualan murah dilaksanakan di sekitar DUN Lembah Jaya dan pihaknya sentiasa berusaha menempah slot daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

“Kita juga berharap PKPS dapat menubuhkan kios atau outletnya di sini bagi memberi peluang kepada penduduk Lembah Jaya membeli barangan keperluan pada harga lebih murah daripada pasaran.

“Pusat khidmat sering memohon kepada PKPS untuk menganjurkan JER di kawasan penduduk berpendapatan rendah,” katanya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang mendapatkan barangan dapur pada harga murah di Jelajah Ehsan Rahmah DUN Lembah Jaya di Laman Niaga @ Ampang Waterfront pada 25 September 2023. Foto SUHAILA SHAHRUL ANNUAR/SELANGORKINI

Jualan murah yang dijenamakan semula daripada Jelajah Ehsan Rakyat diteruskan hingga Disember ini dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Barangan dijual termasuk ayam standard RM10 seekor, daging pejal segar (RM10/pek) dan telur gred B (RM10 sepapan) dan minyak masak 5kg (RM25).

Lokasi terkini JER boleh disemak di Facebook PKPS atau mengimbas kod QR Jadual JER pada imej infografik PKPS atau rujuk pautan linktr.ee/myPKPS.


Pengarang :