Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah mendengar taklimat ringkas dari pelajar Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam yang memperkenal produk pengering baju ciptaan mereka ketika hari terbuka program kemahiran dan vokasional (TVET) Yayasan Raja Muda Selangor di Kolej Komuniti Kuala Langat, Banting pada 26 September 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Tengku Amir Shah rasmi Hari Terbuka Yayasan Raja Muda-TVET

KUALA LANGAT, 26 SEPT: Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan merasmikan Hari Terbuka Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Kolej Komuniti Kuala Langat hari ini.

Acara yang diperkenal sejak 2019 menghimpunkan pengamal Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari seluruh negara untuk mengetengahkan bidang itu dalam kalangan belia.

Dalam program itu, Baginda berkenan melawat pameran disertai pelajar sekolah dan kolej selain menyaksikan pertukaran kerjasama antara 14 kolej komuniti dan politeknik seluruh Selangor.

Anakanda Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor itu turut menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada dua rumah kebajikan dan bantuan komputer riba kepada lima pelajar terpilih.

Sementara itu, Pengerusi YRMS Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda berkata hari terbuka itu membantu menerapkan nilai inovasi kepada golongan muda melalui penganjuran pertandingan TVET.

“Dalam program ini hadirin dapat melawat tapak pameran daripada pelbagai institusi TVET, termasuk Institut Kraf Negara, Akademi Sulam Emas, Persatuan Teknologi Malaysia dan banyak lagi,” katanya.

Hadir sama Pengarah Kolej Komuniti Kuala Langat Suhairi Ismail dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Langat Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim.


Pengarang :