Orang ramai beratur untuk membuat semakan di Pusat Mengundi Sekolah Rendah Agama Pekan Hulu Langat, Batu 14, Hulu Langat pada 19 November 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

PRK Pelangai: HARAPAN Pahang bantu tarik pengundi luar pulang tunai tanggungjawab

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pakatan Harapan (HARAPAN) Pahang menumpukan usaha menarik pengundi luar khususnya di ibu negara untuk pulang mengundi pada pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, 7 Oktober ini.

Pengerusinya Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu bagi memastikan calon dari Barisan Nasional (BN) menang sekali gus meneruskan kelangsungan pembangunan dan kebajikan penduduk bawah Kerajaan Perpaduan.

“Sekarang ini tugas kita adalah memastikan pengundi terutama yang ada di KL (Lembah Klang) turun mengundi. Kita dapati ada lebih 2,000 pengundi di KL.

“Kita perlu bagitahu mereka keperluan mengundi untuk pastikan Pelangai ada representasi (wakil) yang baik terutama untuk meneruskan kelangsungan pembangunan, kemajuan dan pembelaan kepada rakyat Pelangai,” katanya selepas merasmikan Ekspo Hartanah Selangor 2023 di Central i-City di sini, hari ini.

Amirudin berkata penerimaan pengundi di DUN berkenaan terhadap calon BN juga positif setakat ini terutama di kawasan felda.

“Ada reaksi positif terutama pengundi di Felda. Lagipun tempat tersebut pengundi Melayu. Kerjasama (dan gerak kerja) jentera PH-BN (juga) berjalan dengan baik dan teratur,” katanya.

Mengulas mengenai petisyen membantah keputusan pilihan raya negeri (PRN) Selangor pada 12 Ogos bagi empat kerusi DUN, Amirudin yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor berkata setakat ini pihaknya masih belum menerima perincian daripada peguam berkenaan perkara itu.

“Petisyen itu (di peringkat) urusan peguam. Saya tak dapat lagi perincian. Sekarang fokus saya sebenarnya Pelangai,” katanya.

Sebelum ini, HARAPAN dan BN mempertimbangkan untuk memfailkan petisyen pilihan raya di kerusi DUN Sungai Kandis, Taman Medan, Gombak Setia dan Dengkil, yang majoriti kemenangan rendah.

Keputusan bagi empat kerusi berkenaan menyaksikan HARAPAN-BN tewa dengan 407 undi di Dengkil, Sungai Kandis (167), Gombak Setia (58) dan Taman Medan (30).

PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Datuk Amizar Abu Adam (BN), Kasim Samat (Perikatan Nasional) dan Haslihelmy DM Zulhasli (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Johari Harun dalam nahas pesawat terhempas di Shah Alam, bulan lalu.

Pada pilihan raya umum ke-15 Johari yang mewakili BN menang dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan Kasim, Ahmed Wafiuddin (HARAPAN) dan calon Pejuang, Isa Ahmad.


Pengarang :