SUBANG JAYA, 1 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Serdang bercadang menjadikan pemeriksaan kesihatan sebagai program utama kawasan itu bagi memupuk gaya hidup sihat warganya.
Abbas Azmi berkata program seumpama itu boleh meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan saringan kesihatan supaya dapat mencegah penyakit dari awal.
“Di negara ini kita lebih suka bila sudah sakit baru ke hospital, apa kata kali ini kita buat program yang beri kesedaran supaya kita tidak lagi sebegitu.
“Mantan wakil rakyat Dewan Undangan Negeri Seri Serdang sebelum ini (Dr Siti Mariah Mahmud) juga sering adakan program pemeriksaan kesihatan jadi saya akan terus menyambung aktiviti sebegitu dengan beberapa penambahbaikan,” katanya.
![](https://selangorkini.my/wp-content/uploads/2023/10/basikal-2-500x375.jpg)
Beliau ditemui pada majlis pelepasan peserta Selangor Criterium Series X Subang Jaya 2023 yang disempurnakan Timbalan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Mohd Zulkurnain Che Ali di sini hari ini.
Abbas menambah pihaknya bersedia bekerjasama dengan pelbagai agensi dan pihak berkuasa tempatan supaya program berkaitan kesihatan dapat ditambah baik sekali gus memberi manfaat kepada penduduk.
“Seperti hari ini, kita dapat lihat MBSJ mempunyai kepakaran mereka dalam melaksanakan Hari Tanpa Kenderaan dengan pelbagai pengisian termasuk pemeriksaan kesihatan, kayuhan santai selain kejohanan basikal jalan raya,” katanya.