Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Sultan rasmi sambutan Hari Warga Emas, galak gaya hidup sihat

SHAH ALAM, 1 OKT: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor berkenan berangkat ke sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat negeri 2023 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini.

Keberangkatan tiba Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin kira-kira jam 10.45 pagi diiringi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Turut serta Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni, EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman.

Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan isteri Dato’ Menteri Besar Datin Seri Madiana Muhamad turut hadir Sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Dalam acara itu, Baginda turut merasmikan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0, iaitu program bantuan untuk komuniti di Selangor melalui pelaksanaan sambutan hari khas kesihatan secara bersepadu.

Sultan juga menyaksikan persembahan senaman otak (brain gym) oleh ahli Kelab Warga Emas Klinik Kesihatan Pandamaran yang terdiri dalam kalangan warga emas berusia lebih 70 tahun.

Baginda kemudian berkenan melawat tapak pameran perkhidmatan terapi cara kerja, saringan kesihatan percuma dan pendaftaran orang kelainan upaya (OKU).

Sambutan Hari Warga Emas Sedunia merupakan acara tahunan yang disambut setiap 1 Oktober bagi mewujudkan warga emas berdikari, mermartabatkan diri dan dihormati.

Tahun ini, sambutan itu mengetengahkan tema Ketahanan Warga Emas Dalam Dunia Yang Berubah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj melihat Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memeriksa tekanan darah selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin diiringi oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkenan melawat pameran selepas merasmikan sambutan Hari Warga Emas Sedunia peringkat Selangor 2023 dan Kempen Sihat Milik Selangor 3.0 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 1 Oktober 2023. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI

Pengarang :