Pemandangan lembangan sungai di Selangor ketika kerja pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook LUAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LUAS pantau tiga lembangan sungai pastikan tiada pencemaran

SHAH ALAM, 4 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menjalankan pemantauan di tiga lembangan sungai iaitu Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat semalam bagi memastikan tiada pencemaran berlaku.

Tinjauan melibatkan beberapa kawasan di Puchong, Jalan Klang Lama, Bukit Belimbing, Petaling Jaya, Serendah, Batang Kali, Sungai Penchala dan Hulu Langat.

“LUAS telah menyusuri sepanjang laluan aliran air beberapa sungai di ketiga-tiga lembangan bagi memastikan keadaan sungai berada dalam keadaan baik dan terkawal serta tiada sebarang risiko aliran yang boleh mengundang pencemaran.

“Secara keseluruhan, tinjauan LUAS mendapati keadaan sungai dan anak sungai yang dilawati di ketiga-tiga lembangan adalah dalam keadaan baik dan terkawal,” tulisnya di Facebook.

Pemandangan lembangan sungai di Selangor ketika kerja pemantauan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada 3 Oktober 2023. Foto Facebook LUAS

Pada Julai tahun lalu, LUAS memaklumkan pihaknya menggunakan dron DJI Matrice 300 RTK yang berteknologi tinggi dengan spesifikasi industri bagi memantau kawasan sensitif sumber air bagi mengelakkan risiko pencemaran.

Pemantauan itu dijalankan di 31 kawasan berisiko di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih pada waktu siang dan malam.

Pada 21 Oktober 2020, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi itu mampu terbang sejauh lebih 1,000 kilometer sebulan selain dilengkapi aplikasi untuk menganalisis kualiti air serta mencerap aktiviti kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran.


Pengarang :