AGENSISELANGOR

LUAS: Dron canggih pantau kawasan sensitif sumber air elak tercemar

SHAH ALAM, 14 JULAI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menggunakan dron DJI Matrice 300 RTK yang berteknologi tinggi dengan spesifikasi industri bagi memantau kawasan sensitif sumber air bagi mengelakkan risiko pencemaran.

Agensi itu berkata penggunaan peralatan canggih dikendalikan syarikat Aerodyne Geospatial Sdn Bhd itu bagi pemantauan 31 kawasan berisiko di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Semenyih pada waktu siang dan malam.

“Dron DJI Matrice 300 RTK itu berkeupayaan mengesan aktiviti mencurigakan atau sebarang perubahan di lokasi pemantauan.

“Pemantauan menggunakan kenderaan tanpa pemandu (UAV) bersama LUAS turut dilaksanakan sekiranya berlaku insiden pencemaran sungai iaitu kod kuning (berisiko menyebabkan henti tugas loji rawatan air (LRA)) atau merah (henti tugas LRA),” katanya menerusi Facebook.

Teknologi dron mula digunakan Skuad Pantas LUAS untuk memantau pencemaran dan pencerobohan sungai di Selangor pada November 2020.

Pada 21 Oktober 2020, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata teknologi itu mampu terbang sejauh lebih 1,000 kilometer sebulan selain dilengkapi aplikasi untuk menganalisis kualiti air serta mencerap aktiviti kilang yang berisiko menyebabkan pencemaran.

Aerodyne Geospatial yang mengendalikannya adalah anak syarikat Kumpulan Aerodyne iaitu penyedia perkhidmatan dron nombor satu di dunia pada tahun lalu.


Pengarang :