EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (duduk, empat dari kanan) bergambar bersama warga emas pada Majlis Makan Malam Menyantuni Warga Emas di di Pusat Konvensyen MBSA pada 3 Oktober 2023. Foto MBSA
PBTSELANGOR

MBSA anjur makan malam, serah sumbangan kepada warga emas

SHAH ALAM, 4 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyantuni warga emas dalam satu majlis makan malam di Pusat Konvensyen MBSA semalam sempena sambutan ulang tahun bandar raya itu ke-23.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata sambutan itu juga bertepatan dengan Hari Warga Emas Sedunia yang disambut pada 1 Oktober setiap tahun.

“Program ini bertujuan menghargai, menyantuni dan beramah mesra bersama golongan warga emas seiring dengan konsep Matlamat Pembangunan Mampan MBSA.

“Majlis ini juga merupakan satu platform kita untuk mewujudkan suasana akrab mesra dan cakna terhadap golongan warga emas di Shah Alam,” kata Mohd Azhar Mohd Sharif menerusi kenyataan.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari (dua, kiri) menyampaikan cek cura sumbangan kepada Persatuan Bekas Pegawai dan Kakitangan MBSA pada Majlis Makan Malam Menyantuni Warga Emas di di Pusat Konvensyen MBSA pada 3 Oktober 2023. Foto MBSA

Majlis diserikan dengan serahan sumbangan RM13,000 dan 100 naskhah al-Quran kepada Kelab Warga Emas Shah Alam yang diterima Orang Besar Daerah Petaling Merangkap Yang Dipertua kelab berkenaan Dato’ Emran Kadir.

Turut diserahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada wakil Persatuan Bekas Pegawai dan Kakitangan MBSA, Ahmad Zamri Kamaruddin.

Majlis disempurnakan EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Turut hadir EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Mohd Najwan Halimi; Datuk Bandar Shah Alam Dr Nor Fuad Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Shah Alam Azli Yusof.


Pengarang :