Kakitangan Platform Selangor (Plats) mempromosi kaedah jualan menerusi platform digital ketika Jelajah Selangor Penyayang di Dataran Pantai Morib, Kuala Langat pada 25 Jun 2022. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Permohonan program latihan usahawan U-PLATS MBSJ dibuka hingga 15 Oktober

SHAH ALAM, 6 OKT: Permohonan program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-PLATS) di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dibuka hingga 15 Oktober ini.

Platform Selangor (PLATS) memaklumkan program Jejak Usahawan Mikro MBSJ: Zero to Hero itu terhad kepada 30 penyertaan sahaja.

“Penerima berpeluang mendapat bimbingan perniagaan, latihan percuma bernilai RM1,500 selain geran RM3,000.

“Selain itu mereka yang terpilih akan mengikuti modul kursus asas keusahawanan, media sosial, e-dagang dan penciptaan kandungan digital,” katanya menerusi Facebook.

Menurut agensi itu kriteria penyertaan termasuk pemohon mestilah berdaftar di PLATSelangor, mempunyai permit perniagaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta menjalankan perniagan di Selangor.

“Mereka juga perlu mempunyai lokasi fizikal perniagaan (terbuka kepada kendera saji atau penjaja) dan rakyat Selangor (lahir atau bermastautin di Selangor lebih lima tahun).

“Kos program ini ditanggung sepenuhnya oleh Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI.

“Borang permohonan hendaklah dihantar ke Jabatan Pelesenan MBSJ sebelum atau pada 15 Oktober dan untuk maklumat lanjut layari laman sesawang www.mbsj.gov.my atau hubungi 0380263175,” katanya.

Program U-PLATS adalah inisiatif baharu bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital.

Sebelum ini Ketua Pegawai Operasi MBI Saipolyazan M Yusop berkata 360 usahawan bakal menerima manfaat daripada program anjuran agensi itu yang diselia 12 PBT.

Menurutnya usahawan yang terlibat akan mengikuti tiga modul latihan selama tiga bulan berdasarkan sistem penggiliran PBT mulai bulan ini hingga Mac 2024.


Pengarang :